Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Satu Tindakan Luar Biasa”, Ahmad Samsuri Persoal Pembatalan Pendaftaran PN

SAMSURI
Kredit: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu sebagai satu tindakan luar biasa yang didakwanya bermotifkan ketakutan terhadap PN.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, keputusan itu lebih menimbulkan persoalan apabila dibuat sehari sebelum kes berkaitan perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, tindakan itu turut berlaku menjelang pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa keputusan tersebut dibuat.

“Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa. Memang luar biasa, yang boleh jadi luar tabii.

“Semua tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon pilihan raya Melaka, dalam keadaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dua hari lalu menghantar surat kepada PN untuk memberi respons berhubung penggunaan logo PN adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu itu mengingatkan bahawa gelombang rakyat tidak akan mudah padam hanya disebabkan tindakan ahli politik yang didakwanya berselindung di sebalik kuasa.

“Apatah lagi mana mana individu politik yang menjadikan ‘akan diusahakan pengharaman ini’ sebagai petunjuk prestasi utama atau key performance indicator (KPI) untuk bersama pihak yang kami hadapi dalam pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan membatalkan pendaftaran PN dibuat selepas pihaknya meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan gabungan itu susulan notis bertarikh 22 September lalu.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan ROS itu.