Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Saya Ingat Dah Nak Mati” – Spacedollah Kongsi Detik Cemas Hampir Lemas Di Bali

spacedollah
Tangkap layar video Tiktok

“Saya Ingat Dah Nak Mati” – Spacedollah Kongsi Detik Cemas Hampir Lemas Di Bali

Pempengaruh media sosial, Spacedollah mendedahkan dirinya hampir kehilangan nyawa selepas berdepan detik cemas ketika berenang di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Spacedollah atau nama sebenarnya Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, kejadian itu berlaku kira-kira tiga hari lalu ketika dia sedang bercuti bersama adiknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain beberapa ahli keluarga lain.

Menerusi perkongsian di TikTok, beliau berkata insiden tersebut bermula apabila dia mengambil keputusan untuk berenang lebih jauh ke tengah laut kerana yakin dengan kemahiran renangnya.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila ombak dan arus kuat mula menariknya semakin jauh dari pantai.

“Saya berenang semakin jauh dan tak sedar ombak dah bawa saya jauh ke tengah. Lagi dekat ke tengah, lagi kuat ombak hentam saya.

“Masa itu baru saya sedar saya dah terlalu jauh dan cuba berenang semula ke pantai, tapi ombak terus tarik saya ke tengah,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin mencemaskan apabila dia tidak lagi mampu memijak dasar laut selain terminum banyak air sehingga tubuhnya mula keletihan.

Spacedollah berkata, dia sempat menjerit meminta bantuan beberapa kali namun tidak didengari sesiapa.

“Saya jerit tolong tiga kali, tapi tak ada siapa dengar. Masa itu saya betul-betul ingat saya akan mati.

“Saya dah terlalu penat dan cuma mampu mengucap sebab rasa macam nyawa saya akan berakhir di situ,” ujarnya.

Dalam keadaan genting itu, Syed Saddiq tiba-tiba muncul dan berenang menghampirinya sebelum membantu menolak badannya dari belakang sehingga berjaya kembali ke pantai.

Katanya, ketika itu kakinya sudah terlalu lemah dan dia tidak lagi mempunyai tenaga untuk berenang sendiri.

“Saya memang dah tak mampu berenang. Tapi dia ada di belakang, tolak saya sampai selamat ke pantai. Masa itu saya betul-betul fikir itu penghujung hidup saya.

“Mungkin sebab dia selalu sertai Ironman, sebab itu dia masih kuat nak bantu saya,” katanya berseloroh.

Spacedollah menyifatkan pengalaman tersebut sebagai detik paling menakutkan dalam hidupnya dan mengakui bahaya ombak laut tidak boleh dipandang ringan walaupun seseorang itu mahir berenang.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mandi laut dan sentiasa memantau anak-anak, terutama ketika keadaan ombak kuat.

“Bali jadi pengalaman paling seram dalam hidup saya. Saya tak mahu lalui benda itu lagi,” katanya.