Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau tidak pernah menyesal mempertahankan prinsip dan moralnya walau apa juga keputusan yang bakal diterimanya.
Luahan itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi satu hantaran di media sosialnya malam tadi, sehari sebelum Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya hari ini.
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, perkongsian tersebut bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya meluahkan apa yang sedang bermain di fikirannya menjelang keputusan mahkamah.
“Biar apa pun berlaku esok, saya tidak akan sedikit pun merasa sesal dalam mempertahankan prinsip dan moral, meskipun apa jua akibatnya.
“Malam ini saya tidak meminta simpati, saya mahu bercakap tentang siapa kita walaupun diuji,” katanya.
Syed Saddiq berkata, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau sentiasa memberikan kerjasama penuh dengan menghadiri setiap prosiding tanpa memohon sebarang penangguhan atau layanan istimewa.
“Lebih enam tahun saya melalui proses ini. Saya hadir setiap kali dipanggil, tiada penangguhan daripada saya, tiada jalan pintas dan tiada layanan istimewa.
“Saya memilih mahkamah kerana di negara ini yang kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang, bukan kuasa,” ujarnya.
Beliau turut mengajak rakyat Muar serta seluruh rakyat Malaysia agar bukan sahaja mendoakan dirinya, malah mendoakan supaya sistem perundangan negara terus mempertahankan keadilan tanpa mengira kedudukan seseorang.
Menurutnya, undang-undang perlu terus melindungi semua pihak sama ada mereka yang berkuasa, pembangkang mahupun rakyat biasa.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata beliau menerima apa sahaja ketentuan dengan hati terbuka serta menyerahkan segala-galanya kepada Allah selepas berusaha mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang.
“Kepimpinan tidak akan diuji ketika semuanya mudah. Ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan, namun kita masih memilih jalan yang benar, bukan dendam.
“Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah. Kebenaran tidak memerlukan kuasa untuk berdiri. Kepada Allah saya berserah,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 30 Jun lalu selepas seorang daripada tiga hakim yang bersidang mengambil cuti sakit.
Keputusan akhir rayuan itu dijadual diumumkan hari ini.