Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DBKL Sita 11 Gerai Dikendali Warga Asing Tanpa Lesen Di Selayang

SELAYANG
Kredit: Facebook DBKL

DBKL Sita 11 Gerai Dikendali Warga Asing Tanpa Lesen Di Selayang

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 11 gerai yang dipercayai dikendalikan warga asing tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Tebah (Aktiviti Perniagaan Kendalian Warga Asing) di sekitar Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang, baru-baru ini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu bermula pada jam 9 malam Sabtu sebelum berakhir kira-kira jam 1 pagi Ahad.

Menurut DBKL, operasi berkenaan memfokuskan pemeriksaan terhadap aktiviti perniagaan melibatkan jualan buah-buahan, sayur-sayuran, barangan basah, barangan am serta lain-lain yang didapati beroperasi tanpa lesen, dikendalikan warga asing, menghalang laluan awam atau melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

“Hasil operasi, DBKL mengambil 11 tindakan sita dan pemindahan barangan serta peralatan perniagaan terhadap penjaja tanpa lesen yang dikendalikan warga asing.

“Selain itu, empat notis kompaun turut dikeluarkan kepada penjaja tempatan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Menurut DBKL, semua barangan dan peralatan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.

Ujarnya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

Dalam operasi sama, PDRM dan MPS turut menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja warga asing yang mengendalikan atau membantu operasi di premis-premis perniagaan terbabit.

DBKL berkata, operasi bersepadu tersebut berjalan lancar dan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang serta syarat pelesenan yang berkuat kuasa.