Baru-baru ini kita digemparkan dengan tragedi seorang mangsa banjir di Johor yang meninggal dunia akibat lemas dihanyutkan banjir.
Justeru, pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew pada hari ini berkesempatan menziarahi isteri mangsa di kediamannya, di samping turut menghulurkan bantuan.
“Sayu hati bila dengar saat banjir di Johor, seorang suami menyelamatkan isteri yang mengandung enam bulan dengan memecahkan cermin kereta ketika kereta hanyut dibawa arus deras.
“Baru berkahwin enam bulan. Ujian besar buat keluarga,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.

Atas rasa tanggungjawab terhadap nasib isteri kepada mangsa yang meninggal dunia itu, Ustaz Ebit Lew bergegas pula menuju ke Kluang untuk menyantuni mereka.
“Terus ke Kluang, Johor ziarah ke rumah keluarga arwah Md Rajihan Junaidi. Berjumpa isterinya Khairunisa dan kedua-dua ibu bapanya. Berkongsi doa dan kata-kata nasihat (dan) semangat.
“Meninggal lemas mendapat pahala syahid. Saat akhir berusaha sedaya mungkin menyelamatkan isteri. Berjuang berkorban,” tambahnya.
Jelas Ustaz Ebit, isteri mangsa, Khairunisa ada meluahkan bahawa tragedi menyayat hati yang berlaku itu masih segar dalam ingatannya.

“Kata isterinya sentiasa teringat saat dengan suami waktu kejadian. Suami pecahkan cermin dengan kaki. Bantu isteri. Isteri dapat memegang pagar dawai sebelum diselamatkan,” luahnya.
Sebagai tanda solidariti atas pemergian arwah yang terkorban demi menyelamatkan dua nyawa (isteri dan anak dalam kandungan), Ustaz Ebit turut menghulurkan sumbangan buat Khairunisa.
“Saya beri sedikit belanja buat isteri arwah, dan juga beri sedikit sumbangan buat ibu bapa beliau.
“Semoga Allah hadiahkan syurga Firdaus buat Md Rajihan dan beri kekuatan buat Khairunisa dan ibu bapa arwah serta semua ahli keluarganya,” katanya.

Sumber: Ustaz Ebit Lew