KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Semua sekolah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) di Kuching, Padawan, Serian, Bau, Lundu dan Samarahan ditutup berkuat kuasa serta-merta hari ini dan esok susulan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.
JPNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan proses pembelajaran murid.
“Keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah, khususnya daripada risiko pendedahan kepada udara tidak sihat,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan lanjut berhubung tempoh penutupan serta pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat.

