Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sektor penjagaan kesihatan Malaysia kini memasuki fasa transformasi yang penting berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan, pertambahan populasi warga emas, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), serta perubahan keperluan pesakit yang terus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan sebanyak RM46.52 bilion menerusi Belanjawan 2026, inflasi kos perubatan dijangka mencecah 16% tahun ini, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk meningkatkan kemampuan, akses serta kemampanan jangka panjang dalam keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan.
Pada masa yang sama, cabaran ini turut membuka peluang baharu kepada ekosistem penjagaan kesihatan negara. Tempoh menunggu yang panjang dan kekangan kapasiti di fasiliti kesihatan awam terus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, sekali gus meletakkan sektor tersebut pada landasan pertumbuhan yang kukuh.
Kapasiti katil hospital dijangka berkembang antara 4% hingga 5% setiap tahun, didorong oleh peningkatan populasi warga emas, pertambahan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) serta perkembangan pesat industri pelancongan kesihatan.

Pada masa sama, peningkatan kumulatif tuntutan insurans telah menyebabkan premium insurans perubatan melonjak dengan ketara, malah sesetengah pemegang polisi berdepan kenaikan antara 40% hingga 70% sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Keadaan ini mengukuhkan lagi keperluan terhadap reformasi struktur bagi meningkatkan kemampuan kos tanpa menjejaskan kemampanan jangka panjang sistem penjagaan kesihatan negara.
Sejajar dengan perkembangan tersebut, Hong Leong Investment Bank ("HLIB" atau "Bank") bersama Bursa Malaysia telah menganjurkan Forum Bursa Malaysia-HLIB Stratum Focus Series ke-21 yang bertemakan "Malaysia Healthcare Industry Moving Forward".
Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pembrokeran merangkap Naib Presiden Eksekutif Hong Leong Investment Bank, Allen Tan Jee Khien berkata, reformasi struktur yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan merupakan langkah penting dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan serta memperkukuh kemampanan jangka panjang sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
"Secara keseluruhannya, reformasi ini menandakan peralihan strategik daripada model penjagaan kesihatan yang bersifat reaktif dan tertumpu kepada rawatan, kepada pendekatan yang lebih proaktif, berteraskan pencegahan serta berasaskan nilai, sekali gus memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kekal mampan," kata Tan.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah pelaksanaan sistem pembayaran Diagnostic Related Group (DRG), peningkatan ketelusan kos menerusi MyPriMe, pelan asas baharu Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), skim Rakan KKM serta penekanan yang lebih menyeluruh terhadap penjagaan kesihatan pencegahan.
Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka dapat meningkatkan kemampuan kos, memperkukuh ketelusan serta membentuk semula ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia demi manfaat pesakit, penyedia perkhidmatan, syarikat insurans dan industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan.
Forum tersebut menghimpunkan barisan pemimpin utama industri termasuk Pengarah Group Commercial & Market Coverage Bursa Malaysia, Stephanie Tan; Ketua Healthcare & Life Sciences (Advisory, APAC) Frost & Sullivan, Rathanesh Ramasundram; Setiausaha Kehormat Association of Private Hospitals Malaysia (APHM), Anwar Anis; Naib Presiden Data Analytics & Strategy Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Aida Zurina Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib; serta Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, YBhg. Dato' Zulkifli Jafar.
Mereka membincangkan prospek sektor penjagaan kesihatan Malaysia, peluang dan cabaran yang dihadapi penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, prestasi industri pelancongan kesihatan, isu kemampuan kos serta insurans perubatan, selain peranan keupayaan industri farmaseutikal tempatan dalam memperkukuh daya tahan sistem penjagaan kesihatan negara.
Mengulas prospek masa hadapan, Tan berkata, meskipun masih terdapat kebimbangan berhubung ketidakpastian pelaksanaan reformasi, HLIB melihat bukan sahaja cabaran, malah peluang untuk terus berinovasi, berkembang, menerajui perubahan dan membuka laluan ke hadapan bagi Malaysia serta industri penjagaan kesihatannya.