Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selain Kanak-Kanak, Warga Emas Turut Berisiko Tinggi Ketika Cuaca Panas
Cuaca panas yang melampau bukan sahaja memberi kesan kepada kanak-kanak, malah turut memberi risiko tinggi kepada warga emas.
Dalam keadaan suhu yang semakin meningkat, golongan ini lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan kerana keupayaan badan mereka untuk menyesuaikan diri dengan haba semakin berkurang.
Ramai mungkin tidak sedar bahawa perubahan kecil dalam cuaca boleh memberi kesan besar kepada warga emas.
Hari ini, SK ingin jelaskan mengapa warga emas lebih terdedah risiko cuaca panas daripada portal The Conversation.
Menurut portal The Conversation, tubuh kita sebenarnya mempunyai beberapa cara untuk mengawal suhu badan.
Pertama, jantung akan mengalirkan darah ke kulit bagi membawa haba dari bahagian dalam badan ke permukaan.

Kedua, apabila kita berpeluh dan peluh itu menyejat, ia membantu melepaskan haba berlebihan ke udara.
Namun, apabila usia meningkat, proses ini menjadi kurang efisien. Aliran darah dan penghasilan peluh dalam kalangan warga emas adalah lebih rendah berbanding orang muda.
Difahamkan, ini menyebabkan badan mereka menyimpan haba lebih lama.
Portal The Conversation menjelaskan bahawa bahaya sebenar bukan sekadar badan menjadi panas, tetapi tekanan yang diberikan kepada sistem kardiovaskular iaitu jantung dan saluran darah.
Ketika cuaca panas, jantung perlu bekerja lebih kuat. Ia perlu mengalirkan darah ke kulit untuk menyingkirkan haba, dalam masa yang sama masih perlu membekalkan oksigen kepada organ penting lain.
Sebab itu, ketika gelombang haba, kebanyakan kes di hospital bukanlah strok haba semata-mata.
Sebaliknya, ia melibatkan penyakit sedia ada yang menjadi lebih teruk seperti diabetes serta penyakit jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Selain itu, ubat-ubatan tertentu juga boleh mengganggu keupayaan badan untuk menyejukkan diri.
Contohnya:
Diuretik boleh menyebabkan dehidrasi
Beta-blocker dan sesetengah antidepresan boleh mengurangkan peluh
Ubat antikolinergik (untuk masalah pundi kencing, alahan atau Parkinson) juga memberi kesan sama
Perhatikan jika anda atau orang terdekat tidak mampu menyesuaikan diri dengan cuaca panas, menurut portal The Conversation.
Tanda awal tekanan haba termasuk:
Cepat letih atau lesu
Hilang keseimbangan
Keliru
Sesak nafas
Kurang kencing atau air kencing berwarna gelap (tanda dehidrasi)

Bagi individu dengan penyakit kronik, perhatikan jika simptom sedia ada menjadi lebih teruk.
Keletihan haba (heat exhaustion) lebih serius dan memerlukan rehat serta pengambilan air di tempat sejuk. Tanda-tandanya termasuk:
Berpeluh banyak
Loya
Sakit kepala
Kekejangan otot
Strok haba (heat stroke) pula adalah kecemasan perubatan dan memerlukan rawatan segera. Antara tandanya:
Kulit panas dan kering
Suhu badan melebihi 40°C
Pengsan atau tidak sedarkan diri
Selain minum air secukupnya, portal The Conversation menasihatkan agar berada di tempat teduh dan mengurangkan aktiviti fizikal.

Ada beberapa cara mudah yang boleh diamalkan:
Gunakan penghawa dingin jika ada
Jika tiada, pergi ke tempat seperti pusat membeli-belah atau perpustakaan
Tetapkan suhu penghawa dingin sekitar 26–27°C dan gunakan kipas untuk lebih jimat elektrik
Jika hanya ada kipas, basahkan kulit atau pakaian untuk bantu penyejukan
Namun, bagi warga emas, keberkesanan kipas akan berkurang apabila suhu mencecah 33 hingga 37°C. Jika suhu melebihi 37°C, kipas sahaja mungkin tidak mencukupi.
Cara lain yang berkesan ialah merendam tangan dan lengan dalam air paip yang sejuk selama 10 minit setiap setengah jam untuk membantu menurunkan suhu badan.