Rasa mengantuk lepas makan sebenarnya ada istilah saintifik iaitu postprandial somnolence, tapi ia lebih mudah dikenali sebagai food coma di mana kita mula rasa mata berat dan badan seolah-olah mahu terus berehat selepas menikmati hidangan.
Salah satu puncanya ialah perubahan paras gula dalam darah ketika badan sedang menghadam makanan, yang boleh menyebabkan paras glukosa meningkat atau menurun bergantung kepada jenis dan jumlah makanan yang diambil.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku dalam badan selepas kita makan dan bagaimana pula nak elakkan rasa mengantuk yang datang secara tiba-tiba itu?
Apa Punca Mengantuk Selepas Makan?
Untuk faham kenapa kita mudah mengantuk selepas makan, kita perlu lihat bagaimana badan memproses makanan dan menukarkan karbohidrat kepada glukosa untuk menghasilkan tenaga.
Apabila kita makan, glukosa akan diserap ke dalam saluran darah dan dibawa masuk ke dalam sel dengan bantuan insulin, namun jumlah dan jenis karbohidrat yang diambil boleh mempengaruhi perubahan paras gula dalam badan.
Jika makanan menyebabkan paras gula meningkat dengan cepat, perubahan ini boleh membuatkan kita berasa letih dan mengantuk selepas makan, terutama selepas mengambil hidangan yang tinggi karbohidrat.
Corak pemakanan juga memainkan peranan kerana makanan tinggi karbohidrat dan lemak seperti makanan segera, daging diproses serta minuman manis boleh dikaitkan dengan rasa lebih mengantuk selepas makan.
Selain itu, skipping breakfast juga boleh membuatkan badan kekurangan tenaga sebelum waktu makan tengah hari, manakala kurang tidur juga boleh menyebabkan rasa mengantuk menjadi lebih ketara selepas makan.
Rasa mengantuk turut dikaitkan dengan tekanan darah yang menurun selepas makan atau hipotensi selepas makan, selain nutrien tertentu seperti triptofan yang boleh membantu penghasilan melatonin, iaitu hormon yang mengawal kitaran tidur dan berjaga.
Cara Elak Mengantuk Lepas Makan
Kalau selalu rasa mata berat selepas makan, beberapa perubahan kecil pada cara pemakanan dan rutin harian mungkin boleh membantu badan kekal lebih bertenaga selepas menikmati hidangan.
Pilih makanan dengan lebih seimbang dengan mengutamakan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan sumber protein tanpa lemak, selain memilih sumber lemak yang lebih sihat seperti minyak zaitun.
Berjalan sekejap selepas makan juga boleh membantu kerana aktiviti ringan seperti berjalan kaki dapat menggalakkan badan menggunakan glukosa dengan lebih baik berbanding terus duduk atau berbaring di sofa selepas makan.
Elakkan makan terlalu dekat dengan waktu tidur dengan memberi jarak sekitar dua hingga tiga jam antara hidangan terakhir dan waktu tidur supaya badan mempunyai masa untuk menghadam makanan sebelum anda berehat.
Pastikan badan cukup air kerana hidrasi penting untuk pelbagai proses dalam badan termasuk penggunaan glukosa, dengan wanita secara umum disarankan mengambil sekitar 11.5 cawan cecair sehari manakala lelaki sekitar 15.5 cawan termasuk cecair daripada makanan dan minuman lain.
Mengantuk selepas makan merupakan perkara yang biasa berlaku dan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti jenis makanan, perubahan paras gula dalam darah, kurang tidur serta keadaan badan selepas menikmati sesuatu hidangan.
Kalau kerap mengalami keadaan ini, cuba perhatikan jenis makanan yang diambil dan bagaimana badan bertindak balas selepas setiap hidangan.
Selain itu, kurangkan makanan tinggi gula dan karbohidrat ringkas serta memilih hidangan yang lebih seimbang untuk membantu mengelakkan rasa food coma selepas makan.

