Selepas hampir 80 tahun terhempas, sebuah pesawat Perang Dunia Kedua yang dilaporkan hilang telah ditemui di kawasan terpencil di pergunungan Himalaya, India.
Memetik laporan portal Wionews, pesawat pengangkut C-46 itu berjaya ditemui selepas operasi pencarian yang sangat berbahaya di puncak gunung tersebut.
Difahamkan, pesawat tersebut telah terhempas dan hilang pada tahun 1945 dan membawa seramai 13 orang dari Kunming di selatan China.
Ia tiba-tiba hilang akibat cuaca ribut di kawasan pergunungan di negeri Arunachal Pradesh di India.

Dalam operasi mencari pesawat ini, tiga pemandu telah meninggal dunia kerana hipotermia pada peringkat awal projek pada bulan September.
Seorang pengembara dari Amerika Syarikat, Clayton Kuhles, mengetuai misi itu selepas mendapat permintaan daripada anak kepada pegawai yang berada di dalam pesawat itu yang dikenali sebagai Bill Scherer.
“Pesawat ini tidak pernah didengari lagi, ia hilang begitu saja,” kata Kuhles.
Ujarnya lagi, dia juga sangat gembira setelah mengetahui lokasi pesawat tersebut dan dapat membantu Scherer yang membesar tanpa kasih sayang bapanya.
Sumber: Wionews