Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Semakin Canggih: Kenali 7 Jenis Scam Ini Elak Jadi Mangsa
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, kehidupan kita kini serba mudah. Semuanya hanya di hujung jari.
Urusan bank, pembelian barangan, komunikasi malah pekerjaan sekalipun boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu ke mana-mana.
Namun di sebalik segala kemudahan ini, wujud pula bahaya yang semakin meningkat saban tahun iaitu penipuan atau scam.
Scam bukanlah sesuatu yang baru tetapi tekniknya kini semakin sofistikated. Penipu menggunakan teknologi moden, media sosial dan taktik psikologi untuk memperdaya orang ramai.
Mereka tahu bagaimana untuk memanipulasi emosi. Iaitu untuk membuatkan seseorang rasa takut, terdesak atau terlalu yakin sehingga mangsa akhirnya menyerahkan wang atau maklumat peribadi tanpa menyedari mereka sedang ditipu.
Maka, amat penting bagi kita memahami apa sebenarnya maksud scam dan mengenali jenis-jenis penipuan yang sering berlaku agar tidak menjadi mangsa seterusnya.
Secara mudah, scam ialah perbuatan menipu seseorang dengan niat mendapatkan wang, barangan atau maklumat peribadi secara tidak sah.
Ia dilakukan melalui pelbagai cara termasuk panggilan telefon, mesej, e-mel, laman web palsu, media sosial dan kadang-kadang secara bersemuka.
Scammer biasanya akan berlakon dengan sangat meyakinkan. Ada yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, wakil bank, kenalan rapat malah kekasih dalam talian.
Mereka bijak bermain dengan emosi dan situasi yang akan membuatkan mangsa percaya bahawa apa yang mereka katakan adalah benar.
Dalam banyak kes, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas kehilangan wang simpanan atau data penting.
Hakikatnya, scam bukan sekadar jenayah kewangan. Ia juga meninggalkan kesan psikologi mendalam kepada mangsa. Mereka akan rasa malu, marah dan trauma yang sukar dilupakan.
1. Scam kewangan dan pelaburan palsu
Scam jenis ini sering bermula dengan janji manis yang sukar ditolak. Penipu akan memperkenalkan skim pelaburan kononnya pasti untung dalam masa yang singkat.
Mereka menggunakan istilah kewangan kompleks, menunjukkan testimoni palsu malah meniru gaya korporat agar nampak sahih.
Mangsa yang teruja untuk menggandakan wang simpanan biasanya tidak sempat menyemak kesahihan syarikat tersebut.
Selepas pelaburan dibuat, mereka dijanjikan pulangan tinggi setiap bulan tetapi akhirnya semua komunikasi terhenti. Contohnya seperti laman web hilang, akaun disekat dan wang tidak dapat dikesan.
Antara contoh biasa ialah pelaburan emas, kripto, forex atau koperasi palsu. Prinsipnya mudah. Jika pelaburan itu kelihatan terlalu bagus untuk dipercayai, besar kemungkinan ia adalah tipu daya.
Jenis ini pula sering berlaku melalui panggilan suara. Scammer menyamar sebagai pegawai polis, LHDN, Bank Negara atau pihak mahkamah.
Dengan nada tegas dan meyakinkan, mereka memberitahu bahawa akaun anda terlibat dalam kes jenayah, penggubahan wang haram atau tunggakan cukai.
Mangsa yang panik akan diarahkan memberikan nombor akaun bank, nombor OTP atau memindahkan wang ke akaun tertentu kononnya untuk tujuan siasatan.
Ada juga kes di mana scammer menggunakan teknologi spoofing yang menjadikan nombor telefon mereka kelihatan seperti nombor rasmi agensi kerajaan.
Ramai yang terpedaya kerana tekanan psikologi. Rasa takut ditangkap atau dipenjarakan membuatkan mereka mengikut arahan tanpa berfikir panjang.
Namun, pihak berkuasa telah menegaskan bahawa tiada sebarang siasatan dilakukan melalui panggilan telefon dan rakyat diminta untuk tidak melayan sebarang panggilan mencurigakan.
3. Scam cinta (Love Scam)
Scam cinta merupakan antara bentuk penipuan yang paling menyayat hati kerana ia melibatkan kepercayaan dan emosi.
Biasanya, penipu akan menyamar sebagai individu menarik. Kononnya ahli perniagaan, tentera luar negara, jurutera atau duda kaya yang mencari cinta sejati.
Hubungan dimulakan dengan kata-kata romantik dan perhatian yang berterusan sehingga mangsa mula jatuh cinta.
Setelah kepercayaan terbina, si penipu mula memanipulasi dengan pelbagai alasan kononnya mengalami kecemasan, memerlukan wang untuk rawatan atau ingin menghantar hadiah yang ditahan di kastam.
Mangsa yang sudah terikat emosi akan sanggup mengirim wang berulang kali tanpa menyedari mereka hanya berhubung dengan watak rekaan.
Dalam banyak kes, penipu menggunakan identiti dan gambar orang lain untuk menyembunyikan diri.
Seiring dengan ledakan trend membeli-belah dalam talian, penipuan jenis ini semakin sukar dibendung. Penipu mencipta laman web palsu yang kelihatan sama seperti jenama terkenal, lengkap dengan gambar produk dan ulasan pelanggan yang direka.
Mangsa tertarik dengan harga yang jauh lebih murah, membuat bayaran dan menunggu dengan penuh harapan. Namun barang yang dibeli tidak pernah tiba atau hanya menerima produk tiruan berkualiti rendah.
Dalam kes lain, scammer menggunakan platform jual beli sebenar untuk mengutip maklumat bank pelanggan tanpa kebenaran.
Sebelum membeli apa-apa secara dalam talian, semak dahulu laman web berkenaan, baca ulasan sebenar dan pastikan transaksi dilakukan hanya melalui saluran rasmi yang selamat.
5. Scam penyamaran (Impersonation Scam)
Scammer kini semakin kreatif menggunakan identiti palsu. Mereka mungkin menyamar sebagai ahli keluarga, rakan lama, pegawai bank atau pekerja syarikat penghantaran.
Taktiknya mudah, mereka akan menghantar mesej atau menelefon dan mendakwa memerlukan bantuan kecemasan atau meminta wang segera.
Disebabkan mesej dihantar menggunakan gambar dan nama sebenar individu yang dikenali, ramai yang percaya dan terus mengirimkan wang tanpa semakan.
Ada juga kes di mana penipu mencipta akaun palsu menggunakan gambar sebenar mangsa untuk menipu orang lain.
Sebab itu, penting untuk kita semak dahulu melalui panggilan sebenar atau bertanya secara bersemuka sebelum mempercayai mesej seumpama ini.
6. Scam pinjaman tidak wujud
Penipuan ini menyasarkan individu yang terdesak memerlukan wang segera. Scammer mengiklankan pinjaman mudah di media sosial tanpa sebarang cagaran, tanpa slip gaji dan dengan kelulusan segera.
Bagi meyakinkan mangsa, mereka meminta salinan kad pengenalan, slip gaji dan sedikit yuran pemprosesan. Selepas bayaran dibuat, tiada lagi khabar berita.
Pinjaman tidak wujud malah data peribadi mangsa disalah guna untuk aktiviti lain.
Ingat, tiada institusi kewangan sah yang meminta bayaran pendahuluan sebelum pinjaman diluluskan. Jika ada, itu tanda besar anda sedang berurusan dengan penipu.
BACA : Jangan Skip Makan, 5 Waktu Terbaik Untuk Kekal Sihat
Ramai kini mencari peluang kerja secara dalam talian dan inilah ruang yang dimanfaatkan oleh scammer. Mereka menawarkan pekerjaan bergaji tinggi tanpa pengalaman atau kerja mudah dari rumah yang kononnya sah.
Mangsa diminta membayar wang untuk latihan, lesen kerja atau peralatan sebelum boleh mula bekerja. Ada juga kes mangsa dibawa ke luar negara untuk bekerja secara paksa di pusat operasi sindiket.
Oleh itu, jangan mudah percaya tawaran kerja yang menjanjikan gaji terlalu tinggi atau tidak masuk akal. Pastikan syarikat tersebut wujud dan sah sebelum membuat sebarang komitmen.
8. Scam parcel (Parcel Scam)
Scam parcel kini semakin kerap berlaku terutama dalam kalangan pengguna aktif e-dagang. Penipu akan menghubungi mangsa, menyamar sebagai wakil syarikat kurier atau pegawai kastam dan mendakwa terdapat bungkusan luar negara yang ditahan.
Mereka akan mengatakan parcel tersebut mengandungi barangan berharga tetapi perlu membayar cukai, denda atau caj penghantaran tambahan.
Ada juga yang menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan kononnya parcel itu mengandungi bahan terlarang.
Dalam keadaan panik, mangsa membuat bayaran tanpa menyedari tiada sebarang bungkusan wujud. Ini antara taktik paling licik kerana ia memanipulasi rasa takut dan tanggungjawab seseorang untuk menyelesaikan masalah dengan cepat.
Oleh itu, langkah pertama untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ialah berhenti, semak dan sahkan. Jangan sesekali tergesa-gesa membuat bayaran atau memberikan maklumat peribadi hanya kerana anda ditekan oleh panggilan atau mesej.
Gunakan saluran rasmi untuk pengesahan seperti Portal Semak Mule yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau hubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 / 1599 bagi mendapatkan bantuan segera.
Selain itu, elakkan berkongsi maklumat akaun, nombor OTP atau kata laluan walaupun dengan individu yang kelihatan dipercayai. Dunia digital hari ini memerlukan tahap kewaspadaan yang tinggi. Satu klik sahaja boleh membezakan antara keselamatan dan kerugian besar.
Kesimpulannya, scam bukan sekadar penipuan wang tetapi juga serangan terhadap kepercayaan dan ketenangan hidup.
Setiap kali kita membaca kisah mangsa, ada pengajaran penting yang perlu diambil iaitu penipu tidak memilih mangsa tetapi menunggu peluang.
Justeru, sentiasalah berwaspada. Jangan mudah percaya dengan tawaran luar biasa, mesej mendesak atau panggilan mengejutkan.
Dalam dunia yang penuh tipu daya digital ini, kesedaran ialah benteng pertama pertahanan diri. Lindungilah maklumat, kewangan, dan emosi anda kerana sekali terpedaya, penyesalan mungkin datang tidak berkesudahan.