Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jangan Skip Makan, 5 Waktu Terbaik Untuk Kekal Sihat
Ramai yang beranggapan bahawa skip waktu makan tidak memberi kesan besar kepada tubuh malah ada yang menjadikannya helah untuk mengurangkan kalori atau menurunkan berat badan dengan cepat.
Hakikatnya, tabiat ini boleh menjadi senjata makan tuan yang menjejaskan kesihatan tanpa kita sedari. Tubuh manusia ibarat sebuah mesin yang memerlukan bahan bakar secara konsisten untuk berfungsi dengan baik.
Apabila bekalan tenaga tidak diberikan pada waktunya, sistem dalaman mula terganggu dan tubuh mula memberi isyarat tidak selesa.
Anda mungkin akan berasa cepat letih, sukar fokus, mudah lapar secara melampau atau lebih buruk lagi, berdepan dengan masalah kesihatan seperti gastrik, kenaikan berat badan tidak terkawal dan risiko penyakit kronik.
Malah, dalam jangka masa panjang, tabiat ini boleh menjejaskan kualiti hidup serta mengurangkan tahap produktiviti harian.
Inilah sebabnya mengapa menjaga jadual makan yang konsisten amat penting untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Dalam artikel kali ini, kita akan membincangkan mengapa anda tidak sepatutnya skip makan walaupun sibuk dengan rutin harian.
Selain itu, kita juga akan melihat waktu makan terbaik untuk memastikan tubuh kekal bertenaga, minda lebih fokus dan kesihatan jangka panjang terpelihara.
Dengan memahami kepentingan jadual makan yang konsisten, anda akan lebih mudah mengekalkan gaya hidup sihat tanpa perlu mengorbankan keselesaan diri.
Salah satu kesan utama skip waktu makan ialah paras gula dalam darah menjadi tidak stabil. Tubuh manusia memerlukan glukosa sebagai sumber tenaga utama dan apabila kita tidak makan untuk tempoh yang lama, paras gula darah akan menurun.
Keadaan ini boleh membuatkan kita terasa lemah, mudah pening, mengantuk dan tidak bermaya.
Malah, ada yang menjadi cepat marah atau moody kerana otak tidak mendapat bekalan tenaga secukupnya. Bayangkan anda perlu menghadiri mesyuarat penting atau menyiapkan tugasan kerja yang memerlukan fokus tinggi tetapi minda menjadi kabur hanya kerana anda tidak bersarapan.
Inilah bukti jelas bahawa mengabaikan waktu makan memberi kesan segera terhadap fungsi otak dan tahap tenaga seharian.
2. Rasa lapar melampau dan makan berlebihan
Skip sarapan atau makan tengah hari juga sering membawa kepada rasa lapar yang sangat kuat pada waktu makan seterusnya.
Apabila perut kosong terlalu lama, tubuh akan menghantar isyarat lapar yang lebih agresif. Ini akan menyebabkan kita terdorong untuk makan dengan banyak secara mendadak.
Lebih membimbangkan, pilihan makanan yang dibuat biasanya kurang sihat. Contohnya seperti makanan segera, bergoreng atau tinggi gula kerana ketika lapar melampau kita cenderung mencari makanan yang cepat memberi rasa kenyang.
Akibatnya, kalori yang diambil melebihi keperluan tubuh lalu menyebabkan kenaikan berat badan secara beransur-ansur.
Situasi ini ibarat lingkaran tidak sihat. Semakin kita cuba mengawal makan dengan cara melangkau semakin besar risiko untuk makan berlebihan pada kemudian hari.
Di samping itu juga, tubuh kita mempunyai sistem metabolisme yang berfungsi untuk membakar kalori dan menukarkan makanan kepada tenaga.
Namun, apabila kita kerap skip waktu makan, tubuh akan bertindak balas dengan memperlahankan kadar metabolisme.
Ini kerana tubuh cuba menjimatkan tenaga dengan menyimpan lebih banyak kalori sebagai lemak seolah-olah sedang menghadapi keadaan kebuluran.
Akibatnya, proses pembakaran lemak menjadi lebih perlahan dan ini membuatkan usaha menurunkan berat badan semakin sukar walaupun kita sudah mengurangkan jumlah makanan.
Dalam jangka masa panjang, kadar metabolisme yang rendah juga boleh menjejaskan tahap kecergasan dan membuatkan tubuh mudah letih walaupun hanya melakukan aktiviti ringan.
4. Risiko masalah pencernaan
Perut yang dibiarkan kosong terlalu lama boleh menyebabkan penghasilan asid gastrik berlebihan. Keadaan ini mengundang masalah seperti pedih ulu hati, perut kembung, rasa mual atau lebih serius lagi, serangan gastritis.
Individu yang mempunyai sejarah gastrik lazimnya lebih mudah terjejas jika melangkau waktu makan.
Selain itu, tabiat ini juga boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus yang seterusnya menjejaskan sistem pencernaan secara keseluruhan.
Jika dibiarkan berlarutan, masalah pencernaan boleh memberi kesan kepada penyerapan nutrien penting dan menjadikan tubuh kekurangan zat walaupun kita makan dengan banyak pada waktu tertentu.
Tabiat makan yang tidak teratur bukan sahaja memberi kesan segera kepada tenaga dan mood malah boleh meningkatkan risiko penyakit kronik jika berpanjangan.
Kajian mendapati individu yang kerap melangkau waktu makan lebih cenderung mengalami masalah obesiti, tekanan darah tinggi, sindrom metabolik, diabetes jenis 2 serta penyakit jantung.
Ini kerana corak pemakanan yang tidak seimbang mengganggu sistem hormon. Khususnya insulin yang berperanan mengawal gula dalam darah.
Apabila insulin tidak lagi berfungsi dengan baik, risiko penyakit kronik meningkat dengan ketara. Walaupun kesannya mungkin tidak kelihatan dalam masa terdekat, tabiat kecil seperti ini boleh membawa implikasi kesihatan yang besar di kemudian hari.
BACA : Baju Masih Lembap Lepas Guna “Washer Dryer”? Ini Sebabnya
Saranan waktu makan yang terbaik
Bagi memastikan tubuh sentiasa sihat dan bertenaga, sangat penting untuk mengamalkan jadual makan yang konsisten. Sarapan pagi sebaiknya diambil antara jam 7.00 hingga 9.00 pagi.
Ini kerana ia adalah waktu terbaik untuk mengisi tenaga selepas berpuasa sepanjang malam. Sarapan yang sihat seperti oat, roti bijirin penuh, telur, buah-buahan atau yogurt mampu membekalkan tenaga yang stabil sehingga waktu tengah hari.
Seterusnya, makan tengah hari sesuai diambil sekitar 12.00 hingga 1.30 petang. Inilah waktu di mana tenaga mula berkurang.
Jadi tubuh memerlukan hidangan lengkap yang mengandungi karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan sedikit lemak sihat.
Pemilihan makanan yang seimbang pada waktu ini akan membantu mengekalkan fokus serta produktiviti sehingga ke petang.
Untuk makan malam pula, waktu yang disyorkan adalah sekitar 6.30 hingga 8.00 malam. Elakkan makan terlalu lewat malam kerana ia boleh mengganggu proses pencernaan dan menyebabkan tidur menjadi tidak selesa.
Selain daripada tiga waktu makan utama, pengambilan snek sihat di antara waktu makan juga penting untuk memastikan paras gula darah stabil sepanjang hari.
Contohnya, snek boleh diambil pada jam 10.00 pagi atau 4.00 petang dengan pilihan ringan seperti buah-buahan segar, kacang tanpa garam, yogurt rendah lemak atau smoothie.
Walaupun nampak ringkas, snek sihat ini mampu membantu mengelakkan rasa lapar melampau dan mengurangkan kecenderungan untuk makan berlebihan pada waktu utama.
Secara keseluruhannya, melangkau waktu makan bukanlah jalan pintas yang baik untuk menguruskan berat badan atau menjimatkan masa.
Sebaliknya, ia juga boleh membawa pelbagai kesan buruk. Menjaga kesihatan bermula dengan rutin harian yang konsisten dan salah satunya adalah memastikan tubuh mendapat makanan seimbang pada waktu yang sesuai.
Dengan mengamalkan jadual makan yang teratur, tubuh akan lebih bertenaga, minda lebih fokus, sistem pencernaan lebih sihat dan yang paling penting, kualiti hidup dapat ditingkatkan.
Jadi, jangan biarkan kesibukan harian menjadi alasan untuk mengabaikan waktu makan. Ingatlah, tubuh yang sihat adalah pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai harganya.
Sumber : bannerhealth, journeytothenewyou