Manila : Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala 10 lagi cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di sebuah lebuh raya pada awal pagi Selasa di pekan Cardona dalam wilayah Rizal yang terletak di timur Manila, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.
Polis berkata nahas itu, yang berlaku pada kira-kira pukul 5.30 pagi, membabitkan sebuah trak sampah, treler dan jip penumpang.
Brek satu daripada kenderaan itu mungkin tidak berfungsi ketika mengambil selekoh dan menyebabkan ia terhumban sebelum menghempap beberapa buah rumah yang terletak di pinggir gaung manakala sebuah lagi trak bertembung dengan jip terbabit, menurut polis.
Antara mangsa yang maut ialah pemandu trak yang terhumban ke dalam gaung.
Sumber : Bernama