Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan dan pengangkutan awam darat untuk rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April ini.
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, bermula 1 April, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat masing-masing tanpa perlu menjalani kuarantin atau melakukan ujian saringan Covid-19 termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
“Kebenaran ini adalah terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.
“Oleh yang demikian, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dalam negara yang berkaitan boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi mereka.
“Hal tersebut termasuk memperbaharui semua permit atau lesen yang berkaitan, sama ada dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau dengan pihak berkuasa di Singapura,” jelasnya baru-baru ini.
Difahamkan, semua operator juga perlu memastikan kod QR diimbas oleh semua penumpang untuk tujuan pengesahan (contact tracing).
Selain itu, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang.
“Operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka.
“Adalah menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat-syarat pengembaraan yang telah ditetapkan.
“Kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada pengembara berkenaan termasuk dikenakan tindakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia ada yang berkaitan,” jelasnya lagi.
Beliau juga menasihatkan kepada pengguna kenderaan motokar persendirian Malaysia untuk mendaftar permit terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.
“Mana-mana pengembara yang akan menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (foreign vehicles entry permit, VEP) dengan melayari laman web .
“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol.
“Selain itu, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar Caj Jalan (RC) (RM20 setiap kemasukan) apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI dan KSAB).
“Bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID.
“Kenderaan berdaftar Singapura yang masih belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC masih boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch n Go,” tambah beliau dalam kenyataan tersebut.
Akhir sekali, beliau berpesan kepada pemilik kenderaan persendirian Singapura untuk memastikan kad Touch n Go mereka masih sah dan mempunyai baki.
Hal ini untuk memastikan kelancaran pembayaran RC tanpa sebarang kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysis di BSI atau KSAB.
“MOT berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura,” tambahnya.
Sumber: Kenyataan media Wee Ka Siong
