Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Senarai 20 Aplikasi Alternatif Navigasi & Peta Selain Waze

WAZE
Kredit: AFP

Nak ke tempat baharu, cari kedai makan atau balik kampung ikut jalan yang kurang sesak? Biasanya, aplikasi navigasilah yang kita buka dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Sekarang, isu aplikasi navigasi hangat diperkatakan susulan arahan kerajaan supaya penjawat awam menghentikan penggunaan Waze berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini mungkin membuatkan ramai tertanya-tanya, selain Waze, aplikasi apa lagi yang menyediakan peta dan panduan perjalanan?

Sebenarnya, pilihannya banyak. Ada yang membantu ketika memandu, ada yang memudahkan perjalanan menaiki bas dan tren, malah ada yang membolehkan kita menggunakan peta tanpa sambungan internet.

Jom kenali 20 aplikasi peta dan navigasi serta kegunaan masing-masing menerusi perkongsian Malaysia Mendidik

Aplilkasi Alternatif Selain Waze

1. Google Maps

Kredit: AFP

Google Maps membantu pengguna mencari lokasi dan merancang perjalanan ke destinasi pilihan. Pilihan laluannya juga membolehkan pengguna menyesuaikan perjalanan, termasuk mengelakkan tol. Senang untuk merancang perjalanan sebelum keluar rumah.

2. Apple Maps

Bagi pengguna peranti Apple, Apple Maps menyediakan carian tempat dan panduan perjalanan dalam ekosistem yang sama. Antara cirinya ialah navigasi pemanduan, maklumat trafik serta panduan berjalan kaki, bergantung pada liputan kawasan.

3. TuJu

Kredit: Bernama

TuJu ialah aplikasi tempatan yang memfokuskan perjalanan di lebuh raya Malaysia. Dibangunkan melalui kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium, aplikasi ini menyediakan maklumat tol, trafik, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), paparan CCTV serta bantuan kecemasan.

4. Petal Maps

Petal Maps daripada Huawei menawarkan carian lokasi, perancangan laluan dan navigasi. Aplikasi ini turut menyediakan maklumat trafik masa nyata, panduan lorong dan carian kemudahan berdekatan di kawasan yang disokong.

5. HERE WeGo

HERE WeGo menyediakan panduan perjalanan termasuk pemanduan dan berjalan kaki. Menariknya, pengguna boleh memuat turun peta terlebih dahulu untuk navigasi luar talian. Berguna apabila perjalanan membawa anda ke kawasan dengan sambungan internet terhad.

6. Sygic GPS Navigation

Sygic menawarkan navigasi GPS menggunakan peta yang boleh dimuat turun. Ia turut mempunyai ciri seperti panduan lorong dan panduan suara, tetapi akses kepada ciri tertentu bergantung pada lesen atau pelan yang digunakan.

7. TomTom GO Navigation

TomTom GO Navigation memfokuskan panduan pemanduan, dengan peta luar talian dan maklumat trafik masa nyata. Peta yang disimpan dalam telefon membolehkan pengguna meneruskan navigasi ketika sambungan rangkaian mudah alih tidak tersedia.

8. Organic Maps

Organic Maps menyediakan peta luar talian untuk pemanduan, berjalan kaki, berbasikal dan mendaki. Menurut pembangunnya, aplikasi sumber terbuka ini percuma, tanpa iklan serta tidak menjejak pengguna atau mengumpul data mereka.

9. OsmAnd

OsmAnd menawarkan peta terperinci dan navigasi luar talian menggunakan data OpenStreetMap. Selain mencari jalan, pengguna boleh melihat laluan berjalan kaki dan berbasikal serta merekod perjalanan. Banyak cirinya berguna untuk merancang aktiviti luar.

10. Magic Earth

Kredit: Magic Earth

Magic Earth menggabungkan navigasi, maklumat trafik dan peta luar talian. Pembangunnya turut menekankan privasi sebagai asas aplikasi, dengan menyatakan bahawa mereka tidak mengumpul data peribadi atau menjejak pergerakan pengguna.

11. MapFactor Navigator

MapFactor Navigator menggunakan peta luar talian untuk membantu pengguna menuju ke destinasi. Ia menawarkan panduan suara dan pelbagai mod perjalanan, termasuk kereta, berjalan kaki serta berbasikal. Peta perlu disediakan terlebih dahulu untuk kegunaan tanpa internet.

12. CoMaps

CoMaps ialah aplikasi peta sumber terbuka yang dibangunkan oleh komuniti. Ia menyokong carian lokasi dan navigasi luar talian untuk berjalan kaki, berbasikal serta memandu. Pengguna juga boleh melihat maklumat seperti denai, tapak perkhemahan dan sumber air.

13. MAPS.ME

MAPS.ME merupakan satu lagi pilihan untuk menggunakan peta luar talian. Konsepnya mudah: muat turun peta kawasan yang diperlukan, pilih laluan dan gunakan peta tersebut ketika meneroka destinasi.

14. Yandex Maps

Yandex Maps menyediakan carian tempat, perancangan laluan dan navigasi. Ia turut menawarkan maklumat trafik serta fungsi luar talian. Semak liputan destinasi terlebih dahulu kerana ketersediaan maklumat dan perkhidmatannya berbeza mengikut kawasan.

15. MapQuest

MapQuest mempunyai fungsi perancangan laluan yang membolehkan pengguna menyusun beberapa hentian dalam satu perjalanan. Pengguna juga boleh mengoptimumkan laluan dan menetapkan ciri jalan yang mahu dielakkan.

16. Guru Maps

Guru maps

Guru Maps menawarkan peta luar talian, carian lokasi dan rakaman perjalanan GPS. Ketika merekod perjalanan, pengguna boleh melihat maklumat seperti kelajuan, jarak serta altitud. Menarik untuk mereka yang mahu menyimpan rekod laluan sendiri.

17. 2GIS

2GIS menggabungkan peta bandar dengan direktori perniagaan. Pengguna boleh mencari tempat seperti restoran, pasar raya, pusat beli-belah, penginapan dan stesen minyak di bandar yang diliputinya.

18. Citymapper

Citymapper memfokuskan perancangan perjalanan dalam bandar menggunakan pengangkutan awam. Ia membantu pengguna memahami pilihan perjalanan di bandar yang disokong, jadi semak senarai liputannya sebelum merancang perjalanan.

19. Moovit

Moovit pula memberi tumpuan kepada mobiliti bandar dan pilihan pengangkutan awam. Aplikasi ini membantu pengguna merancang perjalanan menggunakan perkhidmatan transit yang tersedia di kawasan masing-masing.

20. AMap Global

AMap Global, yang turut dikenali melalui jenama Gaode, menyediakan carian tempat dan navigasi untuk pelbagai jenis perjalanan. Antaranya ialah pemanduan, bas, berbasikal dan berjalan kaki, dengan maklumat perjalanan yang banyak tertumpu pada China.

Intipati
  • Kerajaan mengarahkan penjawat awam menghentikan penggunaan Waze berkuat kuasa serta-merta.
  • Artikel menyenaraikan 20 aplikasi alternatif untuk peta, navigasi dan perancangan perjalanan.
  • Beberapa aplikasi menawarkan peta luar talian, maklumat trafik, transit awam dan ciri privasi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan