Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sentuhan Kasih MADANI KPKT Perkasa Infrastruktur Komuniti Dan Perumahan Rakyat Di Negeri Sembilan

Sentuhan Kasih MADANI KPKT

Sentuhan Kasih MADANI KPKT Perkasa Infrastruktur Komuniti Dan Perumahan Rakyat Di Negeri Sembilan

SEREMBAN, 17 Julai 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkasa agenda transformasi kemudahan awam luar bandar dan perumahan menerusi program Sentuhan Kasih MADANI di sekitar Negeri Sembilan pada 16 hingga 17 Julai 2026.

Program dua (2) hari ini dipimpin oleh Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu dengan fokus utama memodenkan prasarana awam, memperkukuh kebajikan sosial serta membina ekosistem komuniti yang lebih selamat, inklusif dan mampan.

Kemuncak lawatan ialah Majlis Perasmian Projek Dewan Terbuka Kampung Panchor, Sikamat. KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000, dengan kos kontrak pembinaan berjumlah RM389,000.00. Dewan serba guna ini berjaya disiapkan dalam tempoh 14 minggu dengan struktur tiang keluli, bumbung metal deck dan lantai simen kemasan epoxy coating. Reka bentuknya dioptimumkan untuk sukan komuniti seperti pickleball dan sepak takraw serta berfungsi sebagai hab integrasi sosial bagi mengukuhkan perpaduan dan hubungan kejiranan.

Dalam aspek perumahan, KPKT menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat Negeri Sembilan bukan sahaja memiliki kediaman mampu milik, malah dapat mendiami persekitaran strata yang selamat, selesa dan berkualiti.

Komitmen ini turut dizahirkan menerusi lawatan ke Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Program Perumahan Rakyat (PPR) Paroi bagi meninjau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur asas demi manfaat 340 keluarga yang mendiami PPR Paroi, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih bersih, selamat dan selesa.

Antara skop projek yang dilaksanakan ialah kerja-kerja menaik taraf dua (2) unit rumah sampah sedia ada dengan kos RM60,000.00 serta kerja-kerja membaiki kerosakan harta bersama, termasuk penaiktarafan sistem perparitan dan kerja-kerja berkaitan, melibatkan kos RM898,750.00. Keseluruhan projek ini menerima peruntukan berjumlah RM958,750.00 sebagai usaha berterusan KPKT dalam memastikan persekitaran kediaman strata kos rendah yang lebih bersih, selamat, kondusif dan berkualiti demi kesejahteraan komuniti.

Melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), KPKT turut merekodkan pencapaian membanggakan dengan 1,589 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan di seluruh Negeri Sembilan bagi tempoh 2022 hingga 2026.

YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMR bagi daerah Kuala Pilah dan Seremban melibatkan lapan (8) penerima kunci dan tujuh (7) penerima surat tawaran. Inisiatif ini membuktikan bahawa pemilikan kediaman sendiri yang kondusif di atas tanah sendiri kekal sebagai teras utama KPKT dalam memastikan golongan B40 mendapat akses kepada kediaman yang selesa, selamat dan mampu milik.

Selain itu, KPKT melalui SWCorp memperteguh pematuhan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] melalui pendekatan “Penguatkuasaan Rahmah tetapi Tegas”. Sehingga kini, seramai 43 pesalah pembuangan sampah kecil di Negeri Sembilan telah dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh mahkamah. Pendekatan ini diimbangi dengan inisiatif Trash to Cash bagi menyokong sasaran kadar pemulihan sisa sebanyak 53% menjelang 2035.

"KPKT komited memastikan pembangunan fizikal yang dilaksanakan bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, malah mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memperkukuh perpaduan masyarakat setempat," kata YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu.

Secara keseluruhannya, KPKT menegaskan bahawa kemampanan jangka panjang setiap projek prasarana awam, kemudahan komuniti dan program perumahan bergantung kepada rasa tanggungjawab bersama masyarakat untuk memeliharanya. Kerjasama erat antara Kementerian, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi pelaksana dan komuniti merupakan kunci utama dalam merealisasikan persekitaran hidup yang lestari selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.