(KEMASKINI) Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kawasan penugasan Op Benteng Malaysia-Thailand di Padang Besar, maut dipercayai ditembak dalam kejadian awal pagi tadi.
Manakala, seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan tanpa mendedahkan butiran lanjut.
”Ya, saya sahkan kejadian (anggota PGA maut ditembak) dan saya sedang dalam perjalanan ke sana (Perlis) untuk meninjau keadaan anggota PGA terlibat,” katanya ringkas memetik Bernama.
Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan media berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota telah diserang oleh dua kumpulan yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.
”Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.
”Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Kpl. Baharuddin Bin Ramli telah terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.
”Manakala rakan setugas mangsa, Kpl. Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya.
Sumber: Bernama TV
