Seorang anak kapal maut manakala 27 yang lain dipindahkan selepas sebuah kapal komersial diserang berhampiran wilayah Musandam, Oman yang menghadap Selat Hormuz, menurut pihak berkuasa Oman, lapor Anadolu.
Seorang kru maut, 27 dipindahkan
Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Oman, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, menjalankan operasi memindahkan kru kapal komersial CAPE DAO yang berdaftar di bawah bendera Antigua dan Barbuda.
“Seramai 27 anak kapal dipindahkan dan diberikan rawatan perubatan yang diperlukan selepas kapal berkenaan diserang 2.5 batu nautika dari wilayah Musandam,” menurut pusat berkenaan.
Serangan itu menyebabkan kebakaran berlaku di bilik enjin kapal dan mengorbankan seorang anak kapal, katanya.
Beberapa jam sebelum pengumuman Oman itu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) memaklumkan pihaknya menerima laporan sebuah kapal kargo terkena projektil yang tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz.
Kejadian itu menyebabkan kebakaran dan kapal berkenaan hanyut, manakala UKMTO tidak mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Kedutaan India di Oman kemudian mengesahkan seorang warganegara India maut dalam serangan terhadap kapal MV CAPE DAO ketika kapal itu dalam perjalanan menuju India. Kedutaan berkenaan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Oman berhubung keselamatan semua kru, termasuk 19 warganegara India.
Wilayah Musandam terletak di bahagian selatan Selat Hormuz, antara laluan perairan penting dunia bagi penghantaran tenaga dan perdagangan global.
Pergerakan kapal melalui laluan berkenaan berdepan gangguan sejak tercetusnya perang pada akhir Februari antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel, termasuk susulan serangan terhadap kapal komersial serta ancaman bersama berhubung keselamatan Selat Hormuz.

