Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di sebuah bar di Bangkok. Thailand, lewat malam Ahad dan mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang serta puluhan lagi cedera.
Menerusi video yang tular, pengunjung bar berkenaan dilihat menjerit sambil melarikan diri apabila api marak dari pintu masuk.
Malah, keadaan ketika api marak itu membuatkan ramai netizen turut merasa 'seram' kerana tidak pernah melihat situasi seperti itu
Ada yang menyamakan ia sebagai semburan api dari mulut naga.
Dalam pada itu, seorang wartawan AFP melihat beberapa beg mayat hitam di atas tanah di luar bar dan restoran Rong Beer Na Lat Phrao pada awal pagi Isnin.
"Api merebak dengan sangat cepat, mencecah siling. Asap berkemungkinan menjadi punca utama kematian," kata Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt.
Beliau juga mengesahkan 27 orang terbunuh dan 63 orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, termasuk 22 orang dalam keadaan kritikal.
Menurutnya lagi, beberapa mangsa ditemui berhampiran pintu keluar kebakaran dan pihak berkuasa percaya mungkin terdapat halangan di situ.
Seorang pelancong Laos, Kan Kutirat berkata beliau terdengar jeritan kuat daripada orang ramai di dalam dan berlakunya huru-hara.
Kan berkata beliau ketika itu sedang minum seorang diri di bar terbabit sekitar jam 10 malam. Tidak lama selepas itu, beliau ternampak asap naik berhampiran pentas.
"Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini sebelum ini. Imej-imej itu masih melekat di fikiran saya," katanya.
Selepas api mula reda, deretan bangku dan botol bir yang masih berada di atas meja dipenuhi dengan debu putih.
Bau plastik terbakar juga berlarutan di kawasan itu beberapa jam selepas kebakaran berlaku. Kebanyakan tingkap bar itu juga pecah.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul sebelum itu telah melawat tempat kejadian.
Beliau berkata pemuzik di tempat itu menyifatkan asap dari pemutus litar berhampiran pentas diikuti dengan bekalan elektrik terputus dan meletup.
"Kebanyakan mangsa berlari ke belakang dan ke tandas tanpa jalan keluar. Mungkin mereka panik kerana terdapat kebakaran dan asap di restoran itu," katanya.