Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Shahidan Mohon PM Pertimbang Agihan Dividen Dimanfaatkan Lebih Langsung Melalui Akaun 3

Sofea
Shahidan Mohon PM
Kredit Gambar: Bernama

Shahidan Mohon PM Pertimbang Agihan Dividen Dimanfaatkan Lebih Langsung Melalui Akaun 3

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan semula supaya agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan hari ini untuk disalurkan ke Akaun 3.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Shahidan berkata agihan dividen ini seharusnya dapat dimanfaatkan secara lebih langsung melalui penyaluran ke Akaun 3 khususnya kepada pencarum yang memerlukan.

"Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru sahaja mengumumkan DIVIDEN bagi tahun 2025 pada kadar 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan Syariah dengan jumlah agihan RM79.6 bilion

"Sehubungan itu, saya memohon jasa baik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula supaya agihan dividen ini dapat dimanfaatkan secara lebih langsung melalui penyaluran ke Akaun 3 khususnya kepada pencarum yang memerlukan," katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan juga wajar meneliti pelaksanaan Pengeluaran Khas Aidilfitri secara bersasar dan bersyarat kepada mereka yang benar-benar terkesan dengan tekanan kos sara hidup, tanpa menjejaskan jaminan simpanan persaraan masa depan.

Beliau turut berharap isu ini dibahaskan secara menyeluruh di Dewan Rakyat. Ia bagi memastikan agar semua Ahli Parlimen dapat mengemukakan pandangan, cadangan serta pendekatan terbaik demi memastikan keputusan yang diambil benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat dan masa depan pencarum.

"Saya juga akan mengemukakan Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) pada hari Isnin, 2 Mac 2026 bagi membolehkan perkara ini dibincangkan secara rasmi di Parlimen Malaysia.

"Selain itu, saya akan menggerakkan himpunan di seluruh negara untuk turun sendiri mendengar luahan dan pandangan rakyat berkaitan isu ini," katanya.

Rabu lalu, beliau juga telah memohon supaya dibentangkan usul bagi membahaskan cadangan supaya 100 peratus dividen KWSP dimasukkan terus ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel) sebelum kadar dividen diumumkan secara rasmi.