Pelawak dan pengacara, Shahrol Azizie bin Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro bakal menggalas peranan baharu sebagai tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bagi Semester I sesi 2026/2027.
Galas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar di UKM
Menerusi perkongsian di Instagram, Shahrol memaklumkan Fakulti Pengajian Sains Citra UKM melantiknya sebagai tenaga pengajar bagi kursus LMCZ1512 Seni Lakon I untuk semester berkenaan.
Menurut Shahrol, komedi bukan sekadar hiburan, sebaliknya memerlukan keberanian, keyakinan diri serta kemahiran komunikasi yang baik ketika berada di atas pentas.
“Komedi memerlukan keberanian serta keyakinan individu berdiri di atas pentas yang diadun bersama kemahiran komunikasi yang sangat baik.
“Kemahiran ini sangat diperlukan hari ini yang menjadi asas dalam menyampaikan mesej memandangkan waktu fokus generasi hari ini sangat singkat,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrol berkata beliau menyambut baik tawaran daripada UKM untuk terlibat sebagai tenaga pengajar bagi kursus berkenaan.
Beliau turut berharap pendekatan komedi berunsurkan pendidikan yang dibawanya dapat memberikan manfaat kepada para pelajar untuk digunakan dalam perjalanan mereka apabila berada di lapangan kelak.
“Semoga komedi beredukasi ini dapat membantu perjalanan di lapangan kelak.
“Jumpa nanti ya adik-adik UKM,” katanya.

