Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Siapa Paling Cepat Terlelap & Lena?” Jepun Anjur Pertandingan Tidur, Pemenang Raih Lebih RM50,000

Jepun anjur pertandingan tidur
Kredit: AFP

Dalam kesibukan kehidupan di Jepun, sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai “pesaing tidur” tampil menyertai satu pertandingan unik untuk membuktikan siapa paling cepat dan paling lena ketika tidur, lapor AFP.

Jepun anjur pertandingan tidur

Pertandingan yang dianjurkan sebuah syarikat tilam itu berlangsung di Tokyo pada Isnin lalu dan dikenali sebagai “Matt Race”.

Puluhan peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam yang selesa untuk tidur sehingga 90 minit.

Pemenang pertandingan tersebut membawa pulang hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (kira-kira RM51,700).

Jepun antara negara kurang tidur

Pengarah kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, Jepun sering digambarkan sebagai sebuah negara yang berdepan masalah kekurangan tidur, selain rakyatnya terkenal dengan sikap rajin dan kuat bekerja.

“Jepun sering digambarkan sebagai negara yang mengalami kekurangan tidur dan masyarakat di sini sangat rajin,” katanya.

Dalam sebuah bilik yang malap, para peserta tidur dengan alat pemantau dipasang pada kepala masing-masing. Ada juga peserta yang membawa patung mainan untuk menemani mereka di atas katil.

Menurut Nakama, pertandingan itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan tidur.

“Dengan menjadikannya sebuah acara seperti ini, saya fikir kita boleh membuatkan orang ramai tidur bersama-sama dan meningkatkan minat terhadap tidur,” katanya.

Data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2021 menunjukkan rakyat Jepun secara purata hanya tidur selama tujuh jam 24 minit sehari, iaitu tempoh paling singkat dalam kalangan negara OECD.

Antara faktor yang dikaitkan dengan kekurangan tidur itu termasuk tempoh bekerja dan perjalanan ulang-alik yang panjang, selain kehidupan malam yang sibuk.

Peserta anggap pertandingan berlangsung terlalu singkat

Salah seorang peserta, Chisato Honda, 32, berkata pertandingan tersebut dirasakannya berlalu begitu pantas sehingga dia berharap dapat tidur lebih lama.

“Segalanya berakhir dalam sekelip mata. Saya hampir berharap dapat tidur lebih lama sedikit,” katanya kepada AFP.

“Ini pertandingan yang menggembirakan,” tambahnya.

Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan seberapa cepat dan lena peserta berjaya tidur.

Pemenang mahu guna wang untuk beli katil baharu

Peserta yang hanya dikenali dengan nama samaran, Suimii, muncul sebagai pemenang pertandingan tersebut.

“Saya mahu tinggal sendiri, jadi saya rasa wang ini akan digunakan untuk kos berpindah,” katanya.

“Saya juga mahukan katil seperti seorang puteri, jadi saya rasa saya akan membeli katil itu,” katanya.

Sumber:AFP.com
Intipati
  • Pertandingan tidur “Matt Race” berlangsung di Tokyo, dianjurkan sebuah syarikat tilam Jepun.
  • Puluhan peserta memakai alat pengesan tidur sebelum berbaring sehingga 90 minit.
  • Pemenang bernama samaran Suimii menerima hadiah utama bernilai lebih dua juta yen.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan