Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Singapura Rakan Strategik, JS-SEZ Dan RTS Link Pacu Pertumbuhan Serantau - Sultan Ibrahim

RTS
Kredit: Facebook Sultan Ibrahim

Singapura Rakan Strategik, JS-SEZ Dan RTS Link Pacu Pertumbuhan Serantau - Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan Singapura bukan sekadar negara jiran terdekat Malaysia, malah merupakan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam perdagangan, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi serantau.

Menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah hubungan erat antara kedua-dua negara terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan pembangunan bersama.

Menurut baginda, prestasi perdagangan dua hala yang terus berkembang walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan membuktikan kukuhnya hubungan Malaysia dan Singapura.

“Singapura adalah lebih daripada sekadar salah sebuah negara jiran terdekat dengan Malaysia. Negara itu merupakan rakan kongsi yang amat dihargai serta antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan dalam negara.

“Perdagangan dua hala yang terus mencatatkan pertumbuhan tatkala keadaan ekonomi global yang tidak menentu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.

“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menerima Presiden Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam sempena Istiadat Sambutan Negara sempena Lawatan Negara Presiden Singapura ke Malaysia di Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan keyakinan bahawa pelancaran Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang dijadualkan beroperasi pada penghujung 2026 akan mengukuhkan lagi hubungan serta kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

“Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah baginda.