Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Siti Nurhaliza Dilantik Profesor Adjung UiTM
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh penyanyi tersohor tanah air tersebut melalui satu hantaran di media sosial miliknya, sebentar tadi.
“Terima kasih kepada UiTM di atas pelantikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,” tulisnya ringkas.
Majlis pelantikan rasmi telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canseleri UiTM, Shah Alam.
Turut hadir, barisan pengurusan tertinggi universiti, wakil Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) selaku fakulti pengusul pelantikan, serta wakil industri.
Menurut UiTM, pelantikan ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Siti Nurhaliza bukan sahaja dalam bidang seni, tetapi juga dalam dunia keusahawanan.
Beliau dianggap sebagai ikon wanita inspirasi yang berjaya menggabungkan kreativiti, integriti dan inovasi dalam membangunkan empayar perniagaannya.
Untuk info, sebagai Profesor Adjung UiTM, Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan. Ini termasuk sesi masterclass, entrepreneurship forum dan industry mentorship.
Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.
BACA: Lagu Shila Amzah Nombor 1 Carta Muzik Antarabangsa
Sumber: Threads @ctdk