Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Skim “Buy Now Pay Later” Cecah RM3.8 Bilion – Lim Hui Ying
KUALA LUMPUR — Baki jumlah pinjaman skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ atau Buy Now Pay Later (BNPL) cecah RM3.8 bilion setakat 30 Jun 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah ini merangkumi 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah negara.
“Daripada jumlah ini, kira-kira 40 peratus disumbangkan oleh golongan belia dengan jumlah BNPL yang tidak berbayar iaitu ‘overdue’ pula adalah terkawal iaitu sebanyak 121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan BNPL,” katanya.
Tambahnya, kajian pasukan petugas CCOB turut mendedahkan lebih kurang 21,000 pengguna aktif BNPL 88 peratus daripada mereka berjaya melunaskan hutang sepenuhnya pada tarikh ansuran yang ditetapkan.
Sementara itu, 12 peratus membuat bayaran lewat tetapi masih mampu menyelesaikan hutang BNPL, dan kurang daripada 1 peratus didapati tidak mampu untuk membayar semula hutang berkenaan.
“Sungguh pun begitu, sebahagian besar daripada mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai lebihan wang pada setiap akhir bulan untuk simpanan atau perbelanjaan,” katanya lagi.
Berhubung dengan kebimbangan BNPL yang dibangkitkan, kerajaan akan mengambil pendekatan bagi memastikan rakyat tidak terjerumus ke dalam kancah hutang yang boleh membawa kepada peningkatan muflis melalui penggunaan skim BNPL yang tidak terkawal.
“Melalui Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP), Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan melaksanakan rangka kerja pengawalseliaan BNPL yang menyeluruh dan mampan.
“Syarikat BNPL akan diwajibkan untuk melakukan penilaian kemampuan berhutang sebelum meluluskan pinjaman kepada pengguna kredit.
“Ini untuk memastikan pengguna kredit mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami tekanan kewangan yang serius dan akhirnya terjerumus dalam perangkap hutang.
“SKP akan memastikan pematuhan industri BNPL terhadap keperluan melaksanakan penilaian kemampuan berhutang tersebut. Kebanyakan pengguna BNPL pada waktu ini mengambil pinjaman yang secara perbandingannya adalah dalam jumlah yang kecil dan tidak melepasi ambang tindakan undang-undang sebagai muflis.
“Namun, perkara ini akan dipantau dengan rapi dan tindakan sewajarnya akan diambil untuk memastikan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh industri BNPL,” ujarnya sewaktu Penggulungan RUUKP 2025 yang dibaca kali kedua di Dewan Rakyat semalam.
Sumber: Media Selangor