Berita baik buat warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menetap di Selangor. Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) kini membuka semula permohonan baru Skim Mesra bagi tahun 2026.
Menariknya, sebanyak 50,000 pendaftaran baharu disediakan untuk tahun ini dan permohonan dibuka mulai 17 September 2026, jam 8.00 pagi. Pendaftaran akan diteruskan sehingga kuota tersebut dipenuhi atau sehingga 31 Disember 2026, mana-mana yang terdahulu.
Bagi pemohon yang berjaya, manfaat baucar Jom Shopping pula akan mula diterima pada tahun 2027. Jadi, bagi mereka yang mempunyai ibu bapa, ahli keluarga atau kenalan yang memenuhi syarat, inilah masa yang sesuai untuk semak kelayakan dan membuat permohonan.
Apa itu Skim Mesra Selangor?
Secara ringkasnya, Skim Mesra merupakan salah satu inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang dilaksanakan bagi membantu golongan warga emas dan OKU di negeri berkenaan.
Program ini sebelum ini lebih dikenali sebagai Skim Mesra Usia Emas (SMUE) namun kemudiannya distrukturkan semula supaya golongan OKU turut diberi ruang untuk menikmati manfaat yang disediakan. Kini, Skim Mesra merangkumi dua kategori utama iaitu Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) untuk golongan OKU.
Antara manfaat utama yang disediakan ialah baucar beli-belah bernilai RM150 setiap tahun untuk ahli yang masih hidup. Baucar berkenaan boleh digunakan di pasar raya yang ditetapkan dan tertakluk kepada tempoh serta kaedah penebusan yang ditetapkan YAWAS.


Permohonan Skim Mesra dibuka dengan kuota 50,000
Untuk tahun 2026, permohonan baru dibuka kepada pemohon yang memenuhi syarat bagi kategori warga emas dan OKU.
Tempoh permohonan adalah seperti berikut:
Tarikh mula: 17 September 2026
Masa: 8.00 pagi
Tarikh tutup: 31 Disember 2026
Kuota: 50,000 pendaftaran baharu
Kaedah permohonan: Secara dalam talian
Bagaimanapun, pemohon tidak perlu menunggu sehingga tarikh tutup sekiranya kuota 50,000 pendaftaran telah dipenuhi lebih awal. Dalam keadaan tersebut, pendaftaran akan ditutup apabila jumlah yang ditetapkan tercapai.
Pemohon yang diluluskan pula tidak akan menerima baucar bagi tahun 2026 kerana pendaftaran baharu ini adalah untuk manfaat yang akan disalurkan mulai 2027.
Syarat Skim Mesra untuk warga emas
Bagi kategori warga emas, syarat yang ditetapkan agak mudah tetapi pemohon perlu memastikan semua perkara berkaitan status kewarganegaraan, umur, tempat tinggal dan pendaftaran sebagai pengundi dipenuhi.
Pemohon perlu memenuhi syarat berikut:
Warganegara Malaysia.
Berumur 60 tahun dan ke atas.
Menetap di Negeri Selangor.
Merupakan pengundi berdaftar di Selangor.
Ini bermakna individu yang sudah mencapai usia 60 tahun tetapi tidak memenuhi syarat berkaitan tempat tinggal atau status pengundi seperti yang ditetapkan tidak boleh terus dianggap layak. Sebaiknya, semakan dibuat terlebih dahulu sebelum permohonan dihantar bagi mengelakkan masalah ketika proses pengesahan maklumat.
Syarat Skim Mesra untuk golongan OKU
Bagi kategori OKU pula, tiada had umur khusus ditetapkan. Namun, pemohon mestilah mempunyai Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Syarat asas bagi kategori ini ialah:
Warganegara Malaysia.
Mempunyai Kad OKU JKM yang sah.
Tiada had umur.
Pemohon berusia 19 tahun dan ke atas perlu merupakan pengundi berdaftar serta menetap di Selangor.
Bagi pemohon berusia 18 tahun dan ke bawah, ibu, bapa atau penjaga perlu merupakan pengundi berdaftar di Selangor.
Jadi, seseorang yang mempunyai keadaan atau ciri-ciri OKU tetapi masih belum mendapatkan Kad OKU daripada JKM tidak boleh menganggap dirinya terus layak di bawah kategori ini. Status sebagai pemegang Kad OKU merupakan antara syarat yang dinyatakan YAWAS.
Berapa manfaat yang diterima melalui Skim Mesra?
Manfaat yang paling sinonim dengan Skim Mesra ialah baucar beli-belah RM150 setahun.
Baucar ini diberikan kepada ahli yang masih hidup dan boleh digunakan untuk pembelian di pasar raya yang telah ditetapkan. Penebusan pula dibuat mengikut ketetapan YAWAS termasuk fasa berdasarkan bulan kelahiran penerima.
Bagi mereka yang sudah menjadi ahli, penting untuk tidak menganggap pendaftaran sahaja bermakna baucar boleh terus diambil. Permohonan perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum penerima boleh membuat tuntutan.
Cara tuntut baucar RM150
Selepas permohonan diluluskan, penerima boleh mendapatkan baucar melalui Pusat Khidmat DUN yang berkaitan.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah:
Penerima perlu hadir sendiri untuk membuat tuntutan.
Kad pengenalan asal perlu dibawa ketika mengambil baucar.
Baucar hanya boleh dituntut ketika ahli masih hidup.
Baucar tidak boleh dituntut selepas kematian penerima.
Penggunaan baucar adalah terhad kepada pasar raya yang telah ditetapkan.
Baucar perlu digunakan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh ia diambil.
Baucar yang tidak digunakan dalam tempoh tersebut tidak boleh diganti.
YAWAS juga menasihatkan ahli supaya sentiasa memastikan nombor telefon dan maklumat peribadi dikemas kini. Langkah ini penting supaya penerima tidak terlepas sebarang pemberitahuan berkaitan tuntutan atau urusan Skim Mesra.
Permohonan Skim Mesra 2026 dibuat secara online
Bagi yang sudah memenuhi semua syarat, permohonan baharu boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi Skim Mesra YAWAS.
Sebelum mengisi borang, pastikan maklumat seperti kad pengenalan, status pengundi, alamat tempat tinggal dan dokumen berkaitan OKU jika berkenaan berada dalam keadaan lengkap serta boleh disahkan.
Pemohon juga digalakkan menyemak semula semua maklumat sebelum menghantar permohonan. Kesilapan kecil pada maklumat peribadi boleh menyebabkan proses semakan menjadi lebih rumit atau permohonan memerlukan pengemaskinian.
Portal rasmi Skim Mesra YAWAS:
mesra.yawas.com.my
Bagi urusan berkaitan Khairat Darul Ehsan pula, semakan lanjut boleh dibuat melalui portal KDE yang disediakan YAWAS.
Dengan kuota sebanyak 50,000 pendaftaran baharu, golongan warga emas dan OKU yang memenuhi syarat boleh mengambil peluang untuk membuat permohonan sebaik sahaja pendaftaran dibuka.
Walaupun tarikh tutup ditetapkan pada 31 Disember 2026, pendaftaran boleh ditutup lebih awal sekiranya kuota yang disediakan telah penuh. Sebab itu, lebih baik semak kelayakan dan siapkan maklumat yang diperlukan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.
Secara keseluruhannya, Skim Mesra merupakan antara inisiatif yang menyediakan manfaat secara berterusan kepada golongan warga emas dan OKU yang layak. Dengan baucar beli-belah RM150 setiap tahun, bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sebahagian keperluan perbelanjaan harian penerima.
Jadi, jika ada ibu bapa, ahli keluarga atau kenalan di Selangor yang memenuhi syarat, jangan lupa kongsikan maklumat ini kepada mereka. Mana tahu, mereka antara yang layak menerima manfaat Skim Mesra yang bakal disalurkan mulai tahun 2027.
17 September 2026

