Skim Tanam Semula Kelapa Sawit: Skop & Pembiayaan Pekebun Kecil
Dalam usaha untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran dan kualiti kelapa sawit di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Skim Tanam Semula Kelapa Sawit atau TSPKS 2.0.
Skim ini bertujuan untuk membantu pengusaha sawit, terutamanya pekebun kecil persendirian, dalam melaksanakan kerja-kerja penanaman semula kelapa sawit yang lebih produktif dan berkualiti tinggi.
Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi impak besar kepada pendapatan pekebun kecil dan ekonomi negara.
Apa itu Skim Tanam Semula Kelapa Sawit 2.0?
Skim ini diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), dengan menyediakan dana khusus untuk menampung sebahagian kos yang terlibat dalam penanaman semula kelapa sawit.
Dana ini terdiri daripada dua komponen utama, iaitu geran dan pembiayaan, masing-masing sebanyak 50%.
Pembiayaan ini akan disalurkan melalui Agrobank, yang akan menguruskan semua proses peruntukan dana.
Walaupun demikian, pemohon hanya perlu membayar semula 50% daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan (termasuk 2% faedah) setelah tempoh tertentu, memberikan ruang lebih kepada pekebun kecil untuk menyusun kewangan mereka dengan lebih baik.
Kredit : MPOB.govObjektif TSPKS 2.0
Antara matlamat utama pelaksanaan TSPKS 2.0 adalah untuk:
Memberikan insentif berbentuk geran dan pembiayaan dengan kadar keuntungan rendah (2% setahun) kepada pekebun kecil yang ingin menebang pokok kelapa sawit tua (berusia lebih 25 tahun) atau sawit yang tidak lagi produktif, dan menggantikannya dengan tanaman sawit yang lebih berkualiti.
Meringankan beban kewangan para pekebun kecil dalam menjalankan penanaman semula sawit yang memerlukan kos tinggi.
Meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan produktiviti kelapa sawit dalam jangka panjang.
Meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Skop Skim dan Pembiayaan
Skop pembiayaan bagi skim ini merangkumi aktiviti-aktiviti yang penting dalam penanaman semula sawit, termasuk:
Penyediaan kawasan tanaman.
Pembelian anak benih sawit yang berkualiti.
Penyelenggaraan kebun sehingga umur pokok sawit mencapai tiga tahun (36 bulan) selepas ditanam.
Bagi pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, nilai pembiayaan adalah sebanyak RM14,000 per hektar, manakala bagi Sabah dan Sarawak, ia ditetapkan sebanyak RM18,000 per hektar. Pembiayaan ini terdiri daripada kombinasi geran dan pembiayaan yang akan diberikan secara berperingkat sepanjang tempoh pelaksanaan.
BACA : 14 Makanan ‘Sihat’ yang Sebenarnya Kurang Berkhasiat
Syarat Permohonan
Pekebun kecil yang berminat untuk memohon bantuan ini harus memenuhi beberapa syarat penting. Antaranya:
Pemohon mestilah warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 69 tahun pada tarikh permohonan. Bagi mereka yang berusia 70 tahun ke atas, permohonan perlu dibuat secara akaun bersama dengan anak atau pasangan.
Pemohon mestilah seorang pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah pemilikan tanah tidak melebihi 10 hektar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Namun, kelulusan insentif pembiayaan adalah terhad kepada 6.5 hektar sahaja.
Tanaman sawit yang dimiliki mestilah berusia lebih dari 25 tahun atau sudah tidak lagi produktif.
Pemohon perlu mempunyai lesen MPOB bagi aktiviti menjual dan mengalih BTS serta menunjukkan bukti pemilikan tanah yang sah mengikut undang-undang.
Kawasan tanaman mesti sesuai untuk penanaman sawit dengan kecerunan kurang daripada 25° dan bebas daripada masalah air bertakung.
Pelaksanaan dan Syarat Skim
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan TSPKS 2.0, pemohon yang diluluskan perlu memenuhi beberapa syarat pelaksanaan seperti berikut:
Menyediakan kawasan tanaman yang sesuai, menanam anak benih sawit berkualiti yang dibekalkan, dan menjalankan amalan pertanian yang baik seperti pembajaan serta pengawalan rumpai dan perosak.
Mematuhi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam pensijilan tersebut.
Anak benih sawit yang digunakan mestilah diperoleh daripada tapak semaian yang dipersijilkan di bawah MPOB Code of Good Nursery Practice (CoPN).
Tanaman secara bawahan (underplanting) tidak dibenarkan di bawah skim ini.
Cara Memohon dan Dokumen Diperlukan
Bagi pekebun kecil yang ingin memohon, permohonan boleh dikemukakan kepada cawangan MPOB atau Agrobank yang berdekatan. Beberapa dokumen penting yang perlu disediakan termasuk:
Borang permohonan yang lengkap diisi dan ditandatangani.
Salinan kad pengenalan dan lesen MPOB.
Salinan dokumen pemilikan tanah seperti geran tanah atau surat pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri bagi pekebun kecil yang tidak memiliki geran tanah.
Kesimpulan
Skim Tanam Semula Kelapa Sawit TSPKS 2.0 adalah peluang besar bagi pekebun kecil yang ingin menambah baik produktiviti kebun sawit mereka.
Dengan adanya bantuan kewangan berbentuk geran dan pembiayaan mudah, pekebun kecil dapat menjalankan aktiviti penanaman semula dengan lebih lancar dan berkesan.
Jika anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, ini adalah peluang yang baik untuk meningkatkan hasil dan pendapatan serta memberi sumbangan positif kepada sektor perladangan negara.
Sumber : MPOB.gov, agrobank
BACA : Cara & Syarat Mohon Rumah Mesra Rakyat: Bayaran Serendah RM300 Sebulan