US Embassy KL Kongsi Gambar Malaysia Dari Angkasa, Netizen Bergurau “Kami Tak Ada Minyak, Ada Sawit Je”
Malaysia bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budayanya, malah kehidupan malamnya turut memukau pengunjung tempatan dan luar negara.
Dari bandar raya yang gemerlapan cahaya neon hingga ke bazar malam yang meriah, negara ini memperlihatkan wajah yang berbeza apabila matahari terbenam.
Misalnya seperti Kuala Lumpur yang menjadi pusat kesibukan selepas gelap dengan pelbagai aktiviti hiburan, kafe dan pasar malam yang sentiasa dipenuhi pengunjung.
U.S. Embassy Kuala Lumpur
Baru-baru ini, satu hantaran dari akaun Facebook U.S. Embassy Kuala Lumpur berkongsi gambar ikonik Malaysia pada waktu malam dari angkasa.
U.S. Embassy Kuala Lumpur menyiarkan sebuah gambar dari tahun 2016 yang diambil dari Stesen Angkasa Antarabangsa, memaparkan kilat menyambar di awan tinggi di atas Malaysia.
Kapsyen gambar itu menyatakan bahawa negara Asia Tenggara ini ‘tidak pernah nampak lebih bertenaga’, sambil menjelaskan bahawa cahaya terang yang kelihatan adalah kilat, bukannya lampu bandar.
“Kadangkala kita mudah terlupa bahawa kita hidup di sebuah planet yang hidup dan bernafas, sehinggalah melihatnya dari sudut ini.
“Sama ada berada di bawah ribut atau di atasnya, pemandangannya tetap menakjubkan,” ujar hantaran itu lagi.
Rakyat Malaysia buat ‘hal’, tinggalkan komen yang melucukan
Menerusi ruangan komen, rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang menggunakan sindiran untuk menggambarkan negara ini seolah-olah sebagai terlalu mundur atau kurang mendapat perhatian dunia kerana faktor ekonomi dan sumber semula jadi.
Selain itu, mereka turut bergurau bahawa Malaysia tidak mempunyai sumber petroleum dan hanya mampu menawarkan minyak sawit, sehingga secara sinis ia dianggap tidak mempunyai sebarang kepentingan strategik di mata pihak luar.
Difahamkan, lawak dan sindiran ini tercetus daripada perbincangan yang lebih luas mengenai kuasa, sumber dan dasar luar Amerika Syarikat, khususnya di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, di mana isu geopolitik, pengaruh ekonomi dan kepentingan strategik negara-negara lain sering menjadi bahan perbincangan dan jenaka orang ramai.




Sumber: U.S. Embassy Kuala Lumpur via Facebook