Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

“Hadiah Paling Bermakna…” Dr. Akmal Sebak Terima Tawaran Haji
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai tetamu Allah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menerusi video yang dikongsikan @drakmalsaleh di TikTok, tawaran itu merupakan hadiah paling bermakna buat diri beliau.
“Di kala putus harapan untuk menunaikan haji tahun ini, di kala diuji dengan pelbagai dugaan, di kala rasa tidak mampu berbuat apa-apa, rupa-rupanya Allah datangkan hadiah yang paling bermakna buat diri ini
“Terima kasih Allah, terima kasih kepada semua yang banyak mendoakan saya. Terlalu kerdil rasanya diri ini,” katanya di ruangan kapsyen.
Menerusi video berdurasi 1:09 minit itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika menghubungi ibunya bagi menyampaikan khabar gembira tersebut
Beliau turut memuat naik tangkap layar surat tawaran bagi menunaikan ibadah haji pada musim 2026.
Sebelum ini, SK melaporkan Dr Akmal Saleh dan isterinya menyimpan hasrat untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Bagaimanapun, hasrat itu ditangguhkan selepas beliau mendapat tahu bahawa ada seorang anak kecil yang memerlukan dana untuk menjalani pembedahan hati.
Menyedari bahawa pentingnya kesihatan dan nyawa, Dr Akmal bersama isterinya memilih untuk menyerahkan simpanan yang berjumlah RM120,000 kepada keluarga Adik Medina.
“Jika kita nak beri sesuatu pada orang, berilah apa yang paling kita sayang.
“Rezeki Medina Allah gerakkan saya kumpulkan duit dalam beberapa tahun ni, ingatkan untuk pergi haji tetapi sebenarnya untuk kos rawatan Medina rupanya.
“Moga Medina dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik seperti anak-anak yang lain,” kongsi beliau di laman Facebook miliknya.
Keputusan tersebut dimaklumkan oleh Dr Akmal ketika berkunjung ke rumah Adik Medina dan dikongsikan melalui satu hantaran di Facebooknya, semalam.
Warga maya yang tersentuh dengan kebaikan yang dipamerkan, berpusu-pusu meluahkan rasa syukur dan mendoakan kesejahteraan buat Dr Akmal dan isterinya.
Difahamkan, adik Medina memerlukan dana berjumlah RM180,000 bagi menjalankan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.
Bercakap tentang rezeki, Dr Akmal berpendapat wang yang disimpannya lebih bermakna jika digunakan buat menyelamatkan nyawa adik Medina.
“Mungkin Allah tak panggil saya lagi, duit ni memang untuk Medina la kot saya rasa. Saya rasa, yang lebih penting nyawa dia,” katanya lanjut.
Beliau turut berpesan kepada kedua ibu bapa adik Medina untuk segera menghubungi pihak Yayasan Nanyang bagi memaklumkan mereka sudah mempunyai dana yang cukup.
“Kalau dia kata dalam dua tiga hari nak berlepas, berlepas je. Kalau dia kata dalam beberapa hari, secepat mungkinlah. Sebab apa, dia soal masa.
“Nyawa dia bergantung dengan masa. Memang kita nampak dia tak ada apa-apa, memanjat tapi sebenarnya dia akan lagi… merudum,” jelas beliau sambil menahan sebak.
Menurutnya, beliau juga memahami perasaan kedua ibu bapa yang ingin melihat anaknya kembali sihat.
“Macam anak saya lah, kita faham. Macam mana kita jaga, kalau boleh kita nak dia sihat. Kalau boleh nyawa kita pun kita nak bagi pada dia,” ucapnya.
Melihat riak wajah ibu dan ayah adik Medina, Dr Akmal turut cuba menenangkan mereka.
“Allah bagi tu bukan rezeki saya sebenarnya. Allah bagi saya ni, transit je. Sebenarnya memang rezeki adik Medina. Ibu jangan risau lah ye, yang penting Medina dapat rawatan dia, kita usaha yang terbaik untuk Medina,” pujuk beliau.
Menutup kata, Dr Akmal sempat menitip pesan buat semua.
“Kalau kita nak bagi pada orang ni cik, kita bagi yang paling kita sayang. Saya memang nak pergi haji ni sebab saya dah pergi umrah banyak kali dah tapi tak dapat nak pergi haji,” ujarnya dalam sebak.
Sumber: @drakmalsaleh via TikTok