Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memutuskan bahawa solat Jumaat di Terengganu akan dibenarkan mulai 22 Mei ini dengan syarat yang ditetapkan.
Menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter agensi berita Bernama, antara syarat yang ditetapkan Maidam adalah hanya satu masjid sahaja yang dibenarkan beroperasi untuk satu daerah.
Selain daripada itu, untuk memastikan amalan penjarakan sosial dipatuhi, bilangan jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di negeri Terengganu mestilah tidak boleh melebihi 40 orang.
Dalam pada itu juga, sembahyang fardu secara berjemaah di Terengganu juga turut dibenarkan, dengan syarat tiga orang sahaja dibenarkan. Mereka yang dibenarkan melakukan solat berjemaah itu pula terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid sahaja.
Walaupun kedua-dua solat tersebut telah mendapat kebenaran, Maidam telah memutuskan untuk tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri dilakukan di masjid dan surau di seluruh negeri Terengganu.
Sumber: Bernama