Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya sekiranya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkaitan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak diluluskan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, penambahan kerusi berkenaan kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu, dengan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak ditingkatkan berbanding kedudukan semasa.
“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian itu pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramlan berkata SPR akan memberikan penjelasan lanjut selepas terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara berkenaan dimaklumkan kepada umum.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.


