Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPR Buka Semakan Daftar Pemilih Tambahan Julai 2026 Selama 30 Hari

SEMAKAN
Kredit: Bernama

Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai 2026 (DPT BLN7/2026) dibuka selama 30 hari bermula hari ini hingga 24 September.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN7/2026 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 45,900 nama warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Menurutnya, daftar berkenaan turut melibatkan 50,547 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 2,006 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, portal MySPR Semak, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi dalam talian MySPR, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau dengan menghubungi talian Semakan Pendaftaran Pemilih di 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata, individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2026 boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Pada masa sama, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya itu boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D menerusi aplikasi MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun menerusi portal Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri yang berkenaan bagi tujuan serahan dan pembayaran fi bantahan.

Semua urusan berkenaan boleh dilakukan pada waktu pejabat pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2026.

Sumber:SPR
Intipati
  • Semakan DPT BLN7/2026 dibuka selama 30 hari bermula hari ini hingga 24 September.
  • Daftar itu mengandungi 45,900 pemilih baharu automatik berusia 18 tahun dan ke atas.
  • SPR turut merekodkan 50,547 pertukaran bahagian pilihan raya dan 2,006 pertukaran kategori atau status.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan