Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPR Terima 126 Bantahan Terhadap Cadangan Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Sarawak

SPR
Kredit: Bernama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 126 bantahan terhadap syor kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di Sarawak.

Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus berkata, sebanyak 133 representasi diterima sepanjang tempoh pameran selama sebulan, bermula 1 hingga 30 September lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 126 representasi merupakan bantahan, manakala tujuh lagi menyatakan sokongan terhadap syor kajian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti dan membincangkan semua representasi yang diterima, khususnya yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan siasatan tempatan.

Katanya, proses siasatan tempatan akan dijalankan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta tatacara kajian semula persempadanan yang sedang berkuat kuasa.

“SPR akan membuat ketetapan berhubung proses siasatan tempatan selepas mesyuarat khas tersebut.

“Notis untuk menghadiri prosiding siasatan tempatan akan dihantar kepada semua pihak yang layak selewat-lewatnya dua minggu sebelum prosiding dijalankan,” katanya.

Terdahulu, SPR mula mempamerkan notis cadangan menambah kawasan pilihan raya baharu serta menukar nama kawasan pilihan raya di Sarawak pada 1 September lalu.

Notis berkenaan dipamerkan sehingga 30 September di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan.

Menurut notis tersebut, SPR mengkaji semula pembahagian Sarawak kepada bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Hasil kajian itu mencadangkan 17 kawasan pilihan raya negeri baharu, manakala 10 lagi kawasan dicadangkan untuk ditukar nama.

Intipati
  • SPR menerima 133 representasi berhubung syor persempadanan semula pilihan raya di Sarawak.
  • Daripada jumlah itu, 126 representasi membantah, manakala tujuh lagi menyatakan sokongan.
  • SPR akan bermesyuarat khas sebelum menetapkan proses siasatan tempatan bagi pihak layak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan