ALOR SETAR, 13 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja bagi membantu siasatan berhubung kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di negeri ini.
Menurut sumber SPRM, perintah reman selama empat hari sehingga Rabu ini terhadap suspek lelaki berusia 30-an itu dibenarkan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Suspek ditahan kira-kira 2.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah. Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah.
Kertas siasatan itu dibuka susulan aduan diterima daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lepas berhubung kelewatan pembekalan baja yang menjejaskan keperluan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), melibatkan kawasan seluas kira-kira 100,000 hektar.
-- BERNAMA


