Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suami Diserang Strok Tatkala Isteri Hidap Kanser, MAINJ Mohon Doa Orang Ramai
Setiap insan pasti diuji dengan pelbagai dugaan dalam hidup. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada pula yang diuji dengan penyakit. Tidak kurang juga yang kehilangan orang tersayang atau menghadapi derita yang berpanjangan.
Tidak semua individu mampu bertahan tanpa sokongan keluarga dan bantuan orang ramai.
Dalam menjalani kehidupan berumah tangga juga tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai ujian. Pasangan yang berjanji sehidup semati akan tetap bersama menempuh suka dan duka.
Kasih sayang, kepercayaan dan pengorbanan menjadi sandaran sepanjang hidup bersama.
Baru-baru ini, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berkongsi kisah pilu salah satu penerima zakat di negeri berkenaan menerusi satu muat naik di laman Facebook rasmi agensi berkenaan.
Pasangan ini mula diuji apabila si isteri disahkan menghidap penyakit kanser. Dengan berbekalkan kesabaran dan kesetiaan yang menggunung tinggi, suami tekad menemani isteri menjalani rawatan kemoterapi tanpa lelah.
Namun, dugaan semakin berat apabila suami pula diserang strok. Berikutan itu, suami pula terlantar, tidak mampu bergerak. Malah, turut kehilangan upaya untuk bekerja.
Dikurniakan seorang cahaya mata, pasangan ini tetap tidak mengabaikan pendidikan anaknya yang kini sedang meniti perjalanan hidup di sekolah rendah.
“Bayangkan perasaan si anak melihat ayah tak berdaya, ibu pula menahan sakit setiap hari,” kongsi agensi berkenaan.
Kini, keluarga ini hanya bergantung kepada bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan. Masyarakat setempat turut berganding bahu meringankan beban pasangan ini.
Menurut MAINJ, segala bantuan yang diterima digunakan bagi memenuhi keperluan hidup seperti belanja barang dapur dan kos perubatan.
“Insya-Allah, kami sedang usahakan penambahan bantuan mengikut keperluan semasa keluarga ini,” maklum agensi itu lagi.
Justeru, pihak MAINJ memohon orang ramai untuk turut sama mendoakan keluarga ini terus tabah hadapi ujian mereka.
“Doakan mereka ya. Semoga Allah beri kesembuhan buat kedua-duanya. Semoga si anak membesar menjadi anak solehah, yang berjaya dunia akhirat.
“Semoga Allah terus titipkan rezeki yang mencukupi buat keluarga ini,” ucap MAINJ.
Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)
BACA: Nahas UPSI: Ibu Mohon Orang Ramai Doa Anak Segera Sembuh
BACA: Doa Ibu Tunggal, Anak Autistik Berjaya Khatam Al-Quran