Pengguna pengangkutan awam di Selangor kini mempunyai satu lagi peluang untuk mengurangkan kos perjalanan harian apabila Subsidi Tambang Pengangkutan Awam Selangor sebanyak RM30 sebulan diperluaskan kepada perkhidmatan KTM Komuter.
Perluasan ini mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026 selepas skim berkenaan sebelum ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan seperti Rapid KL On-Demand dan Kumpool.
Langkah tersebut pastinya memberi kelegaan kepada mereka yang bergantung kepada KTM Komuter untuk berulang-alik ke tempat kerja, institusi pengajian atau urusan harian terutama dalam keadaan kos perjalanan yang semakin menjadi perhatian ramai.
Menerusi inisiatif ini, pemohon yang memenuhi syarat boleh menerima subsidi RM30 setiap bulan yang disalurkan secara digital melalui aplikasi Nine.
Jadi, siapa yang layak menerima subsidi ini dan bagaimana pula cara menggunakannya untuk membeli tiket KTM Komuter?
Berikut panduan yang perlu anda tahu.
Apa itu Subsidi Tambang KTM RM30?
Subsidi Tambang KTM merupakan sebahagian daripada Inisiatif Subsidi Tambang Pengangkutan Awam Selangor (ISTPA) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakej Daya Tahan Selangor.
Secara mudahnya, penerima yang layak akan mendapat kredit subsidi sebanyak RM30 sebulan untuk membantu menampung tambang pengangkutan awam.
Bantuan ini tidak diberikan dalam bentuk wang tunai yang boleh dikeluarkan sebaliknya disalurkan secara digital melalui Nine eWallet.
Untuk penggunaan KTM Komuter, kredit berkenaan boleh digunakan ketika membeli tiket atau pas perjalanan melalui platform pembelian tiket yang disokong.
Inisiatif ini mempunyai peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.40 juta dengan sasaran sehingga 50,000 pengguna.
Tempoh pelaksanaan pula adalah dari Jun hingga Disember 2026, dengan peluasan kepada KTM Komuter bermula 1 Oktober 2026.
Siapa yang layak memohon?
Antara perkara paling penting untuk diberi perhatian ialah status pengundi.
Pemohon mestilah:
Warganegara Malaysia
Pengundi berdaftar di Selangor
Menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang diliputi dalam skim subsidi
Ini bermakna kelayakan bukan semata-mata berdasarkan tempat tinggal atau tempat bekerja.
Sebaliknya, status sebagai pengundi berdaftar di Selangor menjadi antara syarat utama bagi mendapatkan manfaat tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor menyediakan sebanyak 50,000 kuota untuk inisiatif subsidi tambang ini.
Oleh sebab kuotanya terhad, mereka yang memenuhi syarat dan memang kerap menggunakan pengangkutan awam digalakkan membuat permohonan lebih awal.
Tiga perkhidmatan KTM komuter yang diliputi
Untuk fasa peluasan bermula Oktober ini, subsidi RM30 tersebut boleh digunakan bagi beberapa perkhidmatan KTM Komuter yang ditetapkan.
Antaranya ialah:
KTM Komuter Sektor Lembah Klang
KTM Komuter Sektor Utara
Perkhidmatan Shuttle Selatan
Namun pengguna perlu mengambil perhatian bahawa subsidi ini adalah untuk perkhidmatan yang dinyatakan dalam skim tersebut.
Ia tidak bermaksud semua perkhidmatan kereta api KTMB secara automatik layak menerima subsidi berkenaan.
Sebagai contoh, pengguna tidak sepatutnya menganggap kredit RM30 itu boleh digunakan untuk semua perjalanan seperti ETS atau KTM Intercity.
Cara mohon Subsidi KTM RM30 melalui Aplikasi Nine
Permohonan subsidi perlu dibuat secara dalam talian melalui aplikasi Nine.
Bagi yang pertama kali menggunakan aplikasi ini, anda perlu memuat turun dan mendaftarkan akaun terlebih dahulu.
Secara ringkas, langkahnya adalah seperti berikut:
1. Muat turun aplikasi Nine
Dapatkan aplikasi Nine melalui gedung aplikasi yang berkaitan dan lengkapkan pendaftaran akaun.
2. Hantar permohonan subsidi
Masuk ke bahagian permohonan subsidi dan buat permohonan kelayakan.
Pastikan anda memilih KTM Komuter sebagai pilihan perkhidmatan pengangkutan awam yang ingin digunakan.
3. Tunggu kelulusan
Selepas permohonan diproses dan diluluskan, kredit subsidi akan disalurkan ke dalam Nine eWallet.
4. Gunakan kredit untuk membeli tiket
Pembelian tiket KTM Komuter boleh dibuat melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memilih Nine sebagai kaedah pembayaran.
Dengan cara ini, jumlah tambang yang layak akan ditolak daripada bahagian subsidi yang tersedia.
Bagaimana nak beli tiket KTM guna subsidi?
Selepas permohonan diluluskan, pengguna perlu menggunakan aplikasi pembelian tiket KTM yang disokong.
Antara langkah yang perlu dilakukan ialah:
Buka aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style
Pilih perkhidmatan KTM Komuter
Tentukan laluan perjalanan
Masukkan stesen asal dan destinasi
Pilih tiket atau pas perjalanan
Semak butiran perjalanan
Pilih Nine sebagai kaedah pembayaran
Bayaran akan ditolak daripada kredit subsidi yang tersedia
Peserta yang layak juga akan dapat melihat bahagian atau poket Subsidi Pengangkutan Awam dalam aplikasi Nine.
Jadi, pengguna tidak perlu membayar menggunakan wang tunai sekiranya tambang tersebut boleh ditampung menggunakan baki subsidi yang diberikan.
Subsidi RM30 ini sah sampai bila?
Bagi pelaksanaan tahun 2026, skim subsidi pengangkutan awam ini berlangsung sehingga Disember 2026.
Maksudnya, penerima yang layak boleh menikmati subsidi sebanyak RM30 sebulan sepanjang tempoh yang ditetapkan tertakluk kepada baki dan syarat penggunaan program.
Perlu diingatkan juga bahawa jumlah subsidi adalah RM30 sebulan, bukannya RM30 yang diberikan sekali sahaja untuk keseluruhan tempoh program.
Ini boleh membantu mengurangkan sedikit perbelanjaan terutama bagi pengguna yang berulang-alik menggunakan KTM Komuter dengan kerap.
Kenapa KTM komuter turut dimasukkan dalam skim ini?
Sebelum ini, lebih 90 peratus penerima subsidi memilih perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan golongan berusia 26 hingga 35 tahun menjadi pengguna terbesar iaitu 35 peratus.
Perluasan kepada KTM Komuter membolehkan lebih ramai pengguna menikmati manfaat subsidi khususnya pekerja dan pelajar yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian.
Langkah ini juga diharap dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Diperkenalkan di bawah Pakej Daya Tahan Selangor
Subsidi ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Inisiatif tersebut dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) dengan kerjasama penyedia pengangkutan dan platform pembayaran digital.
Ia dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan perkhidmatan DRT pada Jun hingga Ogos 2026 sebelum diperluaskan kepada mod pengangkutan awam lain menerusi aplikasi Nine termasuk KTM Komuter mulai Oktober.
Oleh itu, kalau anda merupakan warganegara Malaysia dan pengundi berdaftar di Selangor, selain memang kerap menggunakan KTM Komuter, subsidi RM30 sebulan ini boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan sedikit kos perjalanan.
Apa yang penting, permohonan dibuat melalui aplikasi Nine dan pilihan KTM Komuter ditetapkan ketika memohon.
Selepas diluluskan, kredit subsidi akan dimasukkan ke dalam Nine eWallet untuk digunakan bagi pembelian tiket melalui platform KTM yang ditetapkan.
Dengan kuota sebanyak 50,000 penerima dan tempoh pelaksanaan yang berakhir pada Disember 2026, pengguna yang memenuhi syarat disarankan untuk tidak menangguhkan permohonan.

