Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sudah tiba masanya untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) menubuhkan hospital pertamanya yang bukan sahaja berperanan sebagai hospital pengajar, tetapi turut menjadi pusat kecemerlangan kesihatan serta pemangkin ekonomi Bumiputera.
Menurut Pengerusi MARA itu, pasukan khas yang bertujuan untuk menggerakan penubuhan Hospital MARA tersebut kini sudah pun dimulakan.
Tambahnya, cadangan untuk menubuhkan Hospital MARA mempunyai asas kukuh berdasarkan ekosistem pendidikan, kesihatan, teknologi, keusahawanan dan industri yang sudah dimiliki MARA.
Antara rasional utama ialah MARA mempunyai ekosistem pendidikan yang besar termasuk Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi serta program berkaitan.
“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebagai sebahagian keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata MARA juga sebenarnya sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan, merangkumi pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan TVET dan teknologi melalui KKTM yang kini dikenali sebagai TVETMARA termasuk di Lenggong dan Ledang, selain jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.
Kekuatan itu, jelasnya, bukan hanya terletak pada institusi perubatan, sebaliknya turut merangkumi TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri yang boleh dihimpunkan menerusi sebuah hospital.
Program Biomedical Science di UniKL MESTECH serta pelbagai disiplin teknologi di kampus UniKL lain juga boleh disepadukan dalam ekosistem berkenaan, memandangkan MARA mempunyai pendidikan perubatan selain kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi berkaitan perubatan.
Malah, Hospital MARA berpotensi berfungsi sebagai living laboratory untuk pelajar dan penyelidik MARA.
“Pelajar KKTM boleh terlibat dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan AI, IoT, robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan MARA membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, rangkaian 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental turut menjadi komponen penting dalam rasional penubuhan Hospital MARA.
Menurut Asyraf Wajdi, rangkaian itu menyediakan “frontline healthcare network” menerusi klinik yang dimiliki usahawan profesional Bumiputera di bawah program ProSPEC.
TVETMARA Ledang turut melengkapkan ekosistem berkenaan apabila melahirkan ramai profesional dan tenaga kerja mahir yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam membaik pulih, menyelia serta menguruskan mesin dan peralatan perubatan yang digunakan di hospital.
“Ini melengkapkan lagi ekosistem industri kesihatan dalam MARA,” katanya.
Mengulas secara keseluruhan, Asyraf Wajdi menyifatkan Hospital MARA sebagai kesinambungan semula jadi mandat MARA untuk membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik Bumiputera.
“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya MARA bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri tersebut,” katanya.

