Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sudah Wujud Sejak Zaman Dinasour, 6 Fakta Menarik Mengenai Penyu Belimbing

fakta penyu belimbing
Kredit: Bernama

Bila bercakap mengenai haiwan yang hidup pada zaman dinosaur, fikiran mungkin terus membayangkan makhluk purba yang sudah lama pupus.

Namun sebenarnya, ada juga haiwan yang masih wujud sehingga hari ini dan mempunyai sejarah evolusi yang sangat panjang.

Salah satunya ialah penyu belimbing atau leatherback sea turtle.

Selepas kali terakhir menampakkan diri pada tahun 2017, gergasi laut yang semakin pupus itu dipercayai telah kembali mendarat di pesisiran Pantai Marang, Terengganu pada 1 September 2026.

Kembalinya, penyu ini memberikan khabar gembira buat orang ramai khususnya penyelidik tempatan.

Di Malaysia pula, penyu belimbing mempunyai sejarah yang cukup dekat dengan negeri Terengganu.

Jadi, apa yang membuatkan penyu belimbing begitu istimewa? Jom kita kenali beberapa fakta menarik mengenainya.

Fakta Menarik Tentang Penyu Belimbing

Kredit: NOAA

1. Sudah Wujud Sejak Zaman Dinaosour

Kalau umur manusia mencecah 100 tahun pun sudah dianggap cukup panjang, bayangkan satu kelompok haiwan yang asal-usulnya boleh dijejaki sehingga ratusan juta tahun lalu.

Menurut Smithsonian Ocean, nenek moyang kepada penyu moden sudah wujud sekitar 260 juta tahun lalu, bahkan sebelum kemunculan banyak kumpulan dinosaur yang kita kenali.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), penyu belimbing (Dermochelys coriacea) telah wujud dalam bentuknya sekarang sejak zaman dinosaur.

Malah, ia merupakan antara reptilia laut paling unik yang masih berenang di lautan dunia sehingga hari ini.

Maknanya, ketika dinosaur masih berjalan di muka bumi, saudara purba kepada penyu yang kita lihat hari ini sudah pun menghuni planet ini.

2. Penyu Terbesar Di Dunia

Jangan terkejut kalau pertama kali melihat penyu belimbing dewasa kerana saiznya memang jauh berbeza berbanding kebanyakan penyu lain.

Penyu belimbing merupakan spesies penyu terbesar yang masih hidup di dunia. NOAA menyatakan penyu ini biasanya mempunyai panjang sekitar lima hingga enam kaki, manakala berat individu dewasa boleh mencecah antara 750 hingga 1,000 paun atau kira-kira 340 hingga 450 kilogram.

Malah, Smithsonian merekodkan penyu belimbing terbesar yang pernah ditemukan mempunyai berat kira-kira 907 kilogram. Penyu jantan tersebut ditemukan terdampar di pantai Wales pada tahun 1988.

3. Cengkerang/Tempurung Yang Berbeza Dengan Penyu Lain

Tidak seperti kebanyakan penyu yang mempunyai tempurung keras dan bersisik, penyu belimbing mempunyai lapisan kulit yang keras tetapi bersifat seperti getah pada bahagian belakangnya.

Di bawah kulit tersebut terdapat tulang-tulang kecil yang saling bersambung serta lapisan tisu dan lemak. Bahagian belakangnya juga mempunyai tujuh rabung memanjang, menjadikan bentuk badannya lebih aerodinamik ketika berenang.

Sebab itulah dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai leatherback, merujuk kepada permukaan belakangnya yang kelihatan seperti kulit.

4. Boleh Berenang Ribuan Kilometer & Pakar Menyelam

Jangan pandang perlahan sahaja pergerakan penyu ketika berada di pantai. Apabila sudah masuk ke laut, penyu belimbing sebenarnya merupakan perenang jarak jauh yang hebat.

Haiwan ini melakukan antara migrasi paling jauh dalam kalangan penyu laut untuk bergerak antara kawasan pembiakan dan kawasan mencari makanan.

Menurut NOAA, sesetengah penyu belimbing mampu berenang lebih 10,000 batu atau kira-kira 16,000 kilometer dalam tempoh setahun.

Selain hebat berenang, penyu belimbing juga merupakan penyelam yang hebat.

NOAA merekodkan penyu ini mampu menyelam menghampiri kedalaman 4,000 kaki atau sekitar 1,200 meter, lebih dalam berbanding kemampuan menyelam kebanyakan mamalia laut. Ia juga boleh berada di bawah air sehingga kira-kira 85 minit.

Keupayaan ini membantu penyu belimbing mencari makanan di kawasan laut terbuka dan pada kedalaman berbeza.

5. Obor-obor Makanan Kegemarannya

Walaupun saiznya boleh mencecah ratusan kilogram, antara makanan utama penyu belimbing sebenarnya ialah haiwan yang sangat lembut, iaitu obor-obor.

Rahangnya tidak direka untuk menghancurkan mangsa bercangkerang keras. Sebaliknya, ia sesuai untuk memakan hidupan bertubuh lembut seperti obor-obor dan salps.

Lebih menarik, bahagian mulut dan esofagus penyu belimbing mempunyai struktur seperti duri yang dikenali sebagai papillae. Struktur yang menghala ke belakang ini membantu memastikan mangsa licin seperti obor-obor tidak terlepas semula daripada mulutnya.

6. Boleh Berenang Di Kawasan Air Yang Sangat Sejuk

Kebanyakan reptilia bergantung kuat kepada suhu persekitaran untuk mengawal suhu badan.

Tetapi penyu belimbing mempunyai beberapa penyesuaian fisiologi yang membolehkannya mengekalkan suhu badan lebih tinggi berbanding air di sekelilingnya.

Keistimewaan itu membolehkan spesies ini bergerak sehingga ke kawasan perairan yang jauh lebih sejuk berbanding kebanyakan penyu laut lain.

Penyelidikan turut menunjukkan saiz badan yang besar, lapisan lemak dan sistem pertukaran haba membantu penyu belimbing mengekalkan haba ketika berada dalam air sejuk.

Sebab itu taburan penyu belimbing sangat luas, merangkumi Lautan Atlantik, Pasifik dan Hindi.

WWF-Malaysia menyatakan sekitar tahun 1950-an, kira-kira 10,000 sarang penyu belimbing direkodkan setiap tahun di Rantau Abang.

Namun, keadaan berubah secara mendadak sehingga tiada lagi sarang penyu belimbing direkodkan di situ sejak 2017 menurut halaman semasa WWF-Malaysia.

Intipati
  • Penyu belimbing dipercayai kembali mendarat di Pantai Marang, Terengganu pada 1 September 2026.
  • NOAA menyatakan penyu belimbing wujud dalam bentuk sekarang sejak zaman dinosaur.
  • Spesies ini mampu bermigrasi jauh, menyelam dalam dan memakan obor-obor sebagai makanan utama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan