Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan orang ramai bahawa hak kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab, susulan peningkatan kes buli siber, ucapan kebencian, gangguan dalam talian serta penyebaran kandungan digital berbahaya.
SUHAKAM dalam satu kenyataan semalam berkata, walaupun setiap individu berhak menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing, kebebasan itu tidak boleh digunakan sehingga menjejaskan hak, maruah, keselamatan dan kesejahteraan pihak lain.
Menurut suruhanjaya itu, piawaian hak asasi manusia antarabangsa termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan prinsip di bawah Perkara 20(2) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) turut mengiktiraf bahawa kebebasan bersuara hadir bersama tanggungjawab tertentu.
Katanya, sebarang bentuk kenyataan atau ungkapan yang menghasut kepada diskriminasi, permusuhan dan keganasan sama ada di alam maya atau dunia nyata boleh menjejaskan maruah manusia serta mengancam keharmonian masyarakat.
“Penyebaran kandungan berunsur kebencian, ancaman, diskriminasi dan penderaan secara dalam talian yang semakin meningkat menimbulkan risiko serius kepada individu serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
SUHAKAM berkata, selain memberi kesan psikologi dan emosi kepada mangsa, tingkah laku seperti itu juga mampu menyemarakkan perpecahan sosial, menormalisasikan prejudis serta menyumbang kepada peningkatan diskriminasi dan keganasan.
Ujarnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila perbincangan dalam talian bertukar menjadi ancaman, ugutan atau hasutan yang menyasarkan individu serta komuniti berdasarkan identiti dan latar belakang tertentu.
Sehubungan itu, SUHAKAM menegaskan pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli siber, ucapan kebencian, ancaman keganasan dan hasutan kepada diskriminasi.
Menurutnya, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan sebarang perlakuan yang mengancam hak dan keselamatan orang lain.
“Mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kebencian, mengganggu orang lain atau menggalakkan keganasan perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, SUHAKAM menyeru kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan supaya memperkukuh usaha menangani ancaman dalam talian melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan, langkah keselamatan digital dan pendidikan kesedaran awam.
Katanya lagi, platform media sosial, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai juga perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk literasi digital, budaya empati serta interaksi yang lebih berhemah.
SUHAKAM menegaskan ruang digital sepatutnya menjadi medium untuk dialog yang sihat dan membina, bukannya tempat menyebarkan kebencian, intimidasi atau budaya tidak bertanggungjawab.