“Suka Lagu Dari Malaysia,” Jawapan Lagu Kegemaran Mat Saleh Ni Buat Ramai Terkejut
Lagu sering dianggap sebagai salah satu medium paling berkesan untuk mempelajari sesuatu bahasa.
Melalui muzik, pelajar bukan sahaja dapat mempelajari perkataan dan frasa baharu, malah dapat memahami sebutan, intonasi dan ritma bahasa secara semula jadi.
Setiap lagu memiliki daya tarikan tersendiri, hasil gabungan lirik yang menyentuh hati, rentak muzik yang unik, dan suara penyanyi yang memukau. Unsur-unsur ini menjadikan setiap karya muzik berbeza dan istimewa.
Tidak kira bahasa atau genre, lagu mampu mencipta pengalaman unik bagi pendengarnya, sekaligus menimbulkan minat dan keterikatan yang mendalam terhadap bahasa serta budaya yang diungkapkan.
Bayangkan jika lagu dalam loghat tempatan di negara ini menjadi kegemaran orang dari luar negara?
“Saya suka lagu dari Malaysia”
Baru-baru ini, sebuah video menjadi tular di media sosial apabila seorang lelaki mengakui bahawa salah satu lagu dari Malaysia adalah lagu kegemarannya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @mikkelgerme di TikTok, beliau dilihat sedang menemu bual seorang individu di kawasan pejalan kaki.
Apabila ditanya mengenai lagu kegemarannya pada masa kini, individu itu memberikan jawapan yang agak mengejutkan orang ramai.
“Buat masa ini, saya sangat menyukai sebuah lagu dari Malaysia…. cek cek cek itulah bunyi cicak,” ujarnya sambil mengekspresikan keseronokan terhadap lagu tersebut.
Lebih menghiburkan lagi apabila lelaki itu sempat menari dengan penuh gaya sambil menyanyikan lagu ‘Cicak’ oleh Allahyarham Cikgu Naim, manakala @mikkelgermer kelihatan terpinga-pinga di sebelah, jelas terkejut melihat aksi spontan itu.
Fenomena ini menunjukkan bagaimana muzik tradisional Malaysia kini semakin diterima dan diminati di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan generasi muda di luar negara.
Video tersebut mendapat 1.4 juta tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberikan pelbagai reaksi dan meluahkan rasa bangga apabila lagu dari Kelantan ini dimainkan di luar negara.
Dalam masa sama, ada yang berasa terhibur dengan video yang dikongsikan oleh lelaki itu.
“Aku ingatkan dia nak nyanyi lagu tradisional,” komen seorang warga maya.
“Penat ‘Tokti’ menyanyi sampai tahap biduanita negara… lagu Cicak juga yang kau suka hahaha,” komen seorang lagi warga maya.
Sumber: @mikkelgerme via TikTok