Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sukuk Global Malaysia AS$1.5 Bilion Raih Permintaan Lebih AS$9.5 Bilion

SUKUK
Kredit: Bernama

Sukuk Global Malaysia AS$1.5 Bilion Raih Permintaan Lebih AS$9.5 Bilion

Terbitan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) bernilai AS$1.5 bilion oleh Kerajaan Malaysia mendapat sambutan memberangsangkan apabila merekodkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, dengan jumlah permintaan pelabur melebihi AS$9.5 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, terbitan itu melibatkan dua tranche iaitu AS$850 juta bagi tempoh matang 5.75 tahun dan AS$650 juta bagi tempoh matang 10 tahun.

Menurut kementerian itu, permintaan kukuh daripada pelabur antarabangsa membolehkan harga akhir ditetapkan pada kadar yang lebih rendah berbanding Panduan Harga Awal (IPG), iaitu masing-masing sebanyak 30 mata asas kepada T+15 mata asas bagi tranche 5.75 tahun dan T+25 mata asas bagi tranche 10 tahun.

Katanya, pencapaian itu sekali gus merekodkan kadar spread paling rendah dalam sejarah penerbitan Sukuk Global Malaysia.

"Terbitan ini membuktikan kedudukan kukuh Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa serta mewujudkan penanda aras baharu yang akan menjadi rujukan harga bagi penerbitan global oleh entiti berkaitan kerajaan dan sektor swasta negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kejayaan berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi Malaysia serta dasar pembangunan negara.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar ekonomi berteraskan kerangka Ekonomi MADANI telah membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan meningkatkan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

"Lebihan langganan yang tinggi dengan kadar spread terendah mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan dasar pembangunan negara yang kukuh.

"Ia membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus menarik sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar," katanya.

MOF berkata, sambutan terhadap penerbitan sukuk itu turut mencerminkan hasil pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu bagi memperkukuh potensi ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menambah baik tadbir urus dan institusi awam.

Menurut kementerian itu, dalam tempoh tersebut defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, manakala kadar pinjaman kerajaan menurun kepada 9 peratus daripada KDNK berbanding 13.6 peratus sebelum ini.

Prestasi ekonomi negara turut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat pertumbuhan 5.2 peratus bagi tahun 2024 dan 2025, selain merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM431.1 bilion pada 2025.

Dalam tempoh sama, nilai perdagangan Malaysia turut melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali dengan merekodkan RM3.06 trilion.

Momentum pertumbuhan itu diteruskan pada tahun ini apabila ekonomi berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, manakala anggaran awal KDNK bagi suku kedua menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus, menurut MOF.

Sukuk berkenaan disandarkan kepada aset yang melibatkan hak perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel awam bandar di Malaysia dan distrukturkan menggunakan konsep Manafae, selaras dengan garis panduan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

Terbitan itu turut menerima penarafan A3 daripada Moody's Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings, sejajar dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang mengekalkan prospek stabil.

Bagi tranche 5.75 tahun, kadar keuntungan ditetapkan pada 4.612 peratus setahun, manakala tranche 10 tahun menawarkan kadar keuntungan 4.949 peratus setahun.

MOF berkata, program libat urus bersama pelabur berjaya menarik penyertaan 140 pelabur antarabangsa, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat, kerajaan asing, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans dan dana persaraan.

Dari segi agihan geografi, pelabur Asia menguasai sebahagian besar penyertaan bagi kedua-dua tranche, diikuti rantau Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), manakala selebihnya disertai pelabur dari Amerika Syarikat.

Hasil penerbitan Sukuk Global itu akan digunakan bagi tujuan am yang mematuhi prinsip Syariah, termasuk membiayai perbelanjaan pembangunan serta pembiayaan semula obligasi sedia ada kerajaan.

CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama serta Pengurus Buku Bersama bagi penerbitan tersebut.

Terbitan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Regulation S dan Rule 144A di bawah Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933 serta akan disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange, Labuan International Financial Exchange dan Bursa Malaysia di bawah Exempt Regime.

Intipati
  • Sukuk Global Malaysia AS$1.5 bilion menerima permintaan melebihi AS$9.5 bilion daripada pelabur.
  • Terbitan dua tranche itu mencatat spread terendah dalam sejarah Sukuk Global Malaysia.
  • Hasil sukuk akan digunakan untuk tujuan Syariah, termasuk pembangunan dan pembiayaan semula kerajaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan