Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Mahu Presiden FIFA Gianni Infantino Jadi Setiausaha Agung PBB

FIFA
Kredit: AFP

Trump Mahu Presiden FIFA Gianni Infantino Jadi Setiausaha Agung PBB

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan mahu Presiden FIFA, Gianni Infantino, dipilih sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu bagi menggantikan António Guterres yang bakal menamatkan perkhidmatannya hujung tahun ini.

Menurut New York Post (NY Post), Trump percaya Infantino memiliki kemampuan luar biasa untuk menyatukan masyarakat antarabangsa, hasil hubungannya yang semakin rapat dengan tokoh bola sepak dunia itu sepanjang penganjuran Piala Dunia tahun ini.

Sumber yang rapat dengan Trump memberitahu NY Post bahawa presiden AS itu berpandangan Infantino dihormati di seluruh dunia dan mempunyai kebolehan menyatukan pelbagai pihak.

"Beliau dihormati oleh semua orang di seluruh dunia dan mempunyai keupayaan istimewa untuk menyatukan manusia," kata sumber itu.

Infantino, 56, dilaporkan menjalin hubungan baik dengan Trump ketika mengendalikan penganjuran Piala Dunia, termasuk menganugerahkan Anugerah Keamanan FIFA yang julung kali diperkenalkan kepada Trump pada Disember lalu.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada Infantino berminat untuk merebut jawatan tertinggi di PBB itu atau sama ada perkara berkenaan pernah dibincangkan secara langsung bersama Trump.

Menurut laporan sama, pemilihan Setiausaha Agung PBB dijangka berlangsung tahun ini bagi menggantikan António Guterres dari Portugal yang akan menamatkan penggalnya pada penghujung Disember.

Untuk dilantik, seseorang calon perlu memperoleh sokongan daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB, termasuk lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto, sebelum mendapat pengesahan Perhimpunan Agung PBB.

NY Post turut melaporkan Trump melihat peluang cerah untuk Infantino dalam kalangan calon sedia ada yang disifatkan oleh seorang sumber sebagai "lemah".

Antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet, serta Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dari Argentina.

Cadangan Trump itu juga dilihat berpotensi mengubah tradisi tidak rasmi PBB yang kebiasaannya menggilirkan jawatan Setiausaha Agung mengikut rantau geografi, dengan Amerika Latin dan Caribbean sebelum ini dijangka menjadi pilihan.

Walaupun begitu, beberapa sumber memaklumkan kepada NY Post bahawa amalan tersebut bukan syarat wajib dan tidak semestinya menghalang pencalonan Infantino sekiranya beliau mendapat sokongan daripada beberapa negara anggota.

Utusan Khas Trump bagi Perkongsian Global, Paolo Zampolli, menyifatkan cadangan itu sebagai satu idea yang bernas.

"Hanya Presiden Trump boleh mendapat idea sehebat ini," katanya kepada NY Post.

Menurut Zampolli, pengalaman Infantino mengurus lebih 200 negara anggota FIFA membuktikan beliau mempunyai kemampuan mentadbir organisasi antarabangsa yang besar.

Beliau turut berpandangan sukan boleh menjadi medium penting untuk membina hubungan baharu antara negara serta memberi inspirasi kepada golongan muda di seluruh dunia.

Sementara itu, NY Post melaporkan Trump sebelum ini sering mengkritik PBB kerana didakwa gagal memainkan peranan lebih berkesan dalam menyelesaikan konflik antarabangsa.

Sejak kembali ke Rumah Putih tahun lalu, Trump turut mengurangkan sumbangan kewangan AS kepada PBB selain menarik negara itu daripada beberapa agensi di bawah badan dunia berkenaan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNESCO dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Jika cadangan itu menjadi kenyataan, hubungan Trump dengan PBB dijangka bertambah baik.

Bagaimanapun, jawatan Setiausaha Agung PBB menawarkan gaji tahunan sekitar AS$418,000, jauh lebih rendah berbanding pendapatan Infantino sebagai Presiden FIFA yang dianggarkan mencecah AS$6 juta setahun.

Dalam masa sama, Infantino telah mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan Presiden FIFA dalam pemilihan yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan.

Setakat ini, beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen yang dikemukakan oleh NY Post berhubung laporan tersebut.

Intipati
  • Trump dilaporkan mahu Gianni Infantino menggantikan António Guterres sebagai Setiausaha Agung PBB.
  • Belum dapat dipastikan sama ada Infantino berminat atau perkara itu dibincangkan bersama Trump.
  • Pelantikan memerlukan sokongan Majlis Keselamatan PBB sebelum disahkan Perhimpunan Agung PBB.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan