Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa selaras dengan semangat dan maksud asal perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Urus Setia Penerangan Darul Aman UPDA di laman Facebook rasmi.
Baginda bertitah, hak dan kedaulatan negeri Kedah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati oleh semua pihak, termasuk dalam soal berkaitan pajakan Pulau Pinang.
Sultan Sallehuddin bertitah, bayaran pajakan yang diterima Kerajaan Negeri Kedah ketika ini masih berasaskan perjanjian lama dan nilainya jauh lebih rendah berbanding kadar yang sewajarnya pada masa ini.
Beta mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut.
"Beta ingin memperingatkan akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, hendaklah dihormati oleh semua pihak," titah baginda
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-84, di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Sebelum ini, isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang dibangkitkan susulan titah baginda supaya kedudukan pajakan negeri itu diperjelaskan secara telus.
Pada 2021, Kerajaan Negeri Kedah menuntut supaya kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dinilai semula selepas mendapati nilainya tidak pernah disemak sejak 1786.
Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan dokumen perundangan berkaitan tuntutan tersebut sebelum menentukan pendekatan terbaik sama ada melalui mahkamah, Majlis Raja-Raja atau rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Pembentangan akhir oleh barisan peguam yang dilantik juga telah dibuat, manakala beberapa dokumen penting dalam proses akhir penyediaan.
Sultan Sallehuddin turut menegaskan Pulau Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri tanpa meniru destinasi pelancongan lain seperti Phuket atau Bali.
Menurut baginda, Langkawi merupakan aset strategik Kedah dan negara yang memiliki khazanah alam semula jadi serta warisan unik yang perlu dipelihara melalui pembangunan mampan.
"Pulau Langkawi adalah aset strategik negeri Kedah dan negara. Sebagai destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkan seperti Phuket atau Bali.
"Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari.
"Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi," titah baginda.
Terdahulu, beberapa pemimpin Kerajaan Persekutuan membuat kenyataan mengkritik sektor pelancongan Langkawi, termasuk dakwaan berlaku kemerosotan ketara jumlah pelancong serta perbandingan pulau peranginan itu dengan Phuket dan Bali.
Dakwaan berkenaan dilihat sebagai cubaan memburukkan imej pulau lagenda bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.