Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sultan Nazrin Rasmi Kem 69 Komando Bernilai RM206 Juta

69
Tangkap layar penstriman langsung Facebook PDRM

Sultan Nazrin Rasmi Kem 69 Komando Bernilai RM206 Juta

Pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memiliki sebuah pangkalan operasi dan latihan bertaraf dunia apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan kem berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan negara bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

Menurut beliau, pembinaan kem itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur serta persekitaran latihan terbaik bagi memastikan anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

“69 Komando mempunyai sejarah perjuangan yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1969. Sumbangan pasukan ini terbukti menerusi pelbagai operasi penting termasuk menentang insurgensi komunis, insiden Al-Maunah pada tahun 2000, Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013 serta penugasan khas negara berkaitan tragedi MH17 pada 2014.

“Pasukan ini juga memainkan peranan penting dalam operasi membanteras keganasan, menyelamatkan tebusan dan menangani ancaman keselamatan berisiko tinggi.

“Setiap kali negara berhadapan ancaman yang menguji kedaulatan dan keselamatan, 69 Komando sentiasa berada di barisan hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kem berkenaan.

Saifuddin berkata, Kem Sultan Nazrin Shah dibangunkan sebagai pangkalan utama baharu 69 Komando bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga pasukan elit itu yang telah berkhidmat kepada negara selama lebih lima dekad.

Katanya, kem yang menelan kos lebih RM206 juta itu dibina di atas kawasan seluas 338 hektar dan telah diserahkan kepada PDRM pada tahun lalu sebagai kompleks operasi, latihan serta pentadbiran yang moden dan komprehensif.

“Ini merupakan pelaburan strategik negara yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan 69 Komando untuk dekad-dekad akan datang.

“Kem Sultan Nazrin Shah bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan generasi pegawai serta anggota 69 Komando,” ujarnya.

Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah bermula secara rasmi pada 30 April 2018 sebelum siap sepenuhnya pada 3 Februari 2023 dan diserahkan kepada PDRM pada 4 Mei 2024 dalam satu majlis yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kem berkonsepkan dwi-fungsi itu menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan serta dilengkapi pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan operasi serta latihan pasukan 69 Komando.

Antara fasiliti yang disediakan termasuk Kompleks Latihan Para, kemudahan latihan payung terjun, Close Quarter Battle (CQB) House, lapang sasar tertutup, lapang sasar jarak dekat dan sederhana serta kolam renang taktikal untuk latihan selam.

Mercu tanda utama kem tersebut ialah lapang sasar sepanjang 1.2 kilometer yang merupakan lapang sasar terpanjang di Malaysia.

Menurut Saifuddin, kemudahan strategik itu akan digunakan secara eksklusif bagi latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat (sniper) jarak jauh, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi serta kesiapsiagaan anggota 69 Komando dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan berisiko tinggi.