Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang dan Malaysia supaya bersama-sama berdoa memohon ke hadrat Allah SWT agar diturunkan hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Baginda turut menzahirkan harapan agar masyarakat serta pihak syarikat perladangan di Kalimantan, Indonesia diberikan kesedaran dan dibukakan hati untuk menghentikan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara.
Menurut baginda, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah boleh memberi kesan terhadap kesihatan serta kesejahteraan masyarakat di rantau ini.
Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, Mej Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya TUDM (Bersara), hari ini.
“Usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak, selain ikhtiar berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru rakyat agar terus berdoa kepada Allah SWT, di samping mengamalkan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi keadaan jerebu yang berlaku,” titahnya.
Baginda turut berharap keadaan cuaca kembali pulih dan hujan yang membawa rahmat dapat turun dalam masa terdekat.
Menurut baginda, hujan berkenaan diharap dapat membantu membersihkan udara serta mengurangkan kesan jerebu yang sedang dialami.

