Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suspek Kes Tembak Kenderaan Komander AKPS Telah Ditahan - Saifuddin

Sofea
Tembak Kenderaan Komander AKPS
Kredit Gambar: Bernama

Suspek Kes Tembak Kenderaan Komander AKPS Telah Ditahan - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa suspek yang menembak kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir telah ditahan.

Bercakap di Sidang Parlimen pada Khamis, Saifuddin berkata suspek ditahan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

"Kita dah buat tangkapan, tak sampai 24 jam. Sekarang sedang berlaku proses soal siasat," katanya.

Beliau mengulas mengenai perkara terbabit bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung kes tersebut.

"Insiden yang berlaku semalam di Bukit Kayu Hitam adalah satu insiden yang amat kita kesali tetapi kita bersyukur kerana Komander AKPS itu selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh, tembakan hanya kena kenderaannya," ujarnya.

Saifuddin turut memberi jaminan bahawa keselamatan di sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

"Jadi segala usaha bagi memastikan agensi yang bertanggungjawab di pintu sempadan, yang berdepan dengan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan senjata, dadah, manusia, warga asing tanpa asing, jenayah bersindiket dan segala macam bentuk ancaman yang berlaku di sempadan.

"Semalam juga saya telah mengeluarkan satu kenyataan yang jelas bahawa kita tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ancaman," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya pada sidang media.