Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Cadang Kompoun Syarikat, Ejen Tipu Pekerja Asing Sehingga RM30,000
KUALA LUMPUR — Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan mana-mana syarikat atau ejen yang menipu pekerja asing dikenakan kompaun sehingga RM30,000.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran yang dimuat naik platform X, hari ini.
“Saya telah mengemukakan cadangan untuk mengkompaun sehingga RM30,000 bagi mana-mana syarikat atau ejen yang membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menyediakan pekerjaan dalam sebulan kepada mereka,” katanya.
Tambah Johari, jumlah kompaun yang dicadangkan itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Selain itu, ia juga bagi menampung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal mereka yang sebelum ini ditanggung kerajaan.
Menurut Johari, beliau terpanggil untuk membuat cadangan itu susulan laporan berita pada 25 Disember lalu berhubung 171 warga asing yang berjalan kaki beramai-ramai di Pengerang, Johor.
Difahamkan, kes itu berlaku disebabkan mereka ingin membuat laporan polis terhadap syarikat atau ejen pekerjaan kerana tidak mahu memberikan pekerjaan.
Mengulas lebih lanjut, Johari menjelaskan sebenarnya banyak sektor-sktor pekerjaan di Malaysia memerlukan tenaga kerja.
Antaranya sektor-sektor yang sebahagiannya di bawah sektor 3D iaitu difficult, dangerous, dirty.
“Sebagai contoh, untuk sektor perladangan getah sahaja memerlukan kira-kira 70,000 hingga 80,000 pekerja bagi menampung keperluan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil.
“Jika ejen pekerjaan yang sudah membawa pekerja asing ke dalam Malaysia tetapi menunggu untuk melihat dahulu syarikat mana yang akan mereka bekalkan pekerjaan, bermakna ejen pekerjaan ini sudah membuatnya sebagai sebuah perniagaan.
“Ini tidak boleh dibenarkan berleluasa. Perkara ini menunjukkan seolah-olah ada syarikat pekerjaan yang cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan,” katanya lagi.
Tambahnya, jika perkara ini terus berlaku, ia akan memberikan imej yang tidak baik kepada Malaysia.
Ini kerana pekerja asing yang datang mengharapkan pekerjaan tetapi mereka menghadapi masalah tiada kerja apabila tiba di negara ini.
Untuk menangani masalah tersebut, isu punca kuasa juga dibincangkan membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sumber: X Johari Abdul Ghani