Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan menjayakan Larian Kesyukuran Muar selama empat hari bermula Khamis ini bagi mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen Muar.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Syed Saddiq berkata, larian yang bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya dan berakhir di Laman Maharani, Muar pada Ahad itu merupakan tanda kesyukuran selepas melalui satu perjalanan yang panjang dan mencabar.
Menurut beliau, program berkenaan juga menjadi tanda penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, pasukan serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar yang sentiasa memberikan sokongan dan doa.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya menerima begitu banyak doa, sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan saya serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar.
"Saya tidak mahu rasa syukur ini berhenti setakat diri saya sahaja. Saya mahu menterjemahkannya kepada satu usaha yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat Muar," katanya.
Beliau berkata, dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan kepada dua inisiatif utama, iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.
Menurutnya, sepanjang larian tersebut, orang ramai boleh mengikuti perkembangan perjalanan menerusi siaran langsung di platform TikTok, Facebook dan YouTube, selain memantau kutipan dana yang dijalankan.
Katanya, semua sumbangan akan disalurkan menerusi akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, manakala perkembangan kutipan dana akan dikemas kini secara berkala.
"Selepas kempen selesai, laporan penggunaan dan agihan dana akan dikongsikan kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti," ujarnya.
Syed Saddiq berharap Larian Kesyukuran Muar bukan sekadar menjadi simbol penghargaan dan kesyukuran, malah mampu diterjemahkan kepada bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak di Muar.