Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Syed Saddiq Syukur Pembebasan Kekal, Tekad Terus Berjuang Demi Malaysia

Syed Saddiq
Gambar: BERNAMA

Syed Saddiq Syukur Pembebasan Kekal, Tekad Terus Berjuang Demi Malaysia

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa syukur selepas Mahkamah tertinggi negara mengekalkan pembebasannya dalam satu keputusan yang disifatkannya sebagai kemenangan kepada prinsip dan kebenaran.

Menerusi hantaran di media sosial, Syed Saddiq berkata keputusan itu menjadi bukti bahawa kebenaran perlu dipertahankan walaupun terpaksa berdepan pengorbanan yang besar.

Beliau berkata sepanjang lebih enam tahun melalui proses perundangan, beliau tidak pernah melarikan diri, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.

"Saya tidak lari. Saya tidak menangguh. Saya tidak minta layanan istimewa.

"Mengapa? Kerana saya percaya Malaysia mesti dipimpin oleh mereka yang sanggup kehilangan kedudukan demi prinsip, bukan menjual prinsip demi kedudukan.

"Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk.

"Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini?," tulisnya.

Beliau menegaskan perjuangannya bukan didorong oleh kebencian terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, lahir daripada rasa cintanya yang mendalam terhadap negara.

"Perjalanan ini hampir merampas banyak daripada saya….masa, nama baik dan masa depan. Tetapi ia tidak pernah merampas kepercayaan saya terhadap Malaysia," tegasnya.

Hargai sokongan keluarga, rakyat

Dalam kenyataan sama, Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada semua yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa sepanjang beliau berdepan proses itu.

"Terima kasih kepada Mama dan Abuyah, yang menanggung kesakitan ini bersama saya dalam diam. Kepada keluarga, tunang saya, pasukan guaman, sahabat-sahabat, rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoakan saya, terima kasih," katanya.

Beliau berkata pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah bersifat sementara. Manakala prinsip, maruah serta khidmat kepada rakyat merupakan legasi yang perlu ditinggalkan kepada generasi akan datang.

Terus pikul tanggungjawab di Parlimen

Mengulas mengenai langkah seterusnya, Syed Saddiq berkata beliau tidak keluar dari mahkamah dengan perasaan dendam. Sebaliknya, memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk terus berkhidmat.

"Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar.

"Selepas ini, saya terus ke Parlimen. Kerana perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya. It has always been Malaysia first. Dulu, sekarang dan selamanya," jelasnya.

Sumber:Instagram