Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Taiwan merekodkan 14 kematian akibat COVID-19 serta 72 kes mengalami komplikasi teruk dalam tempoh tujuh hari, sekali gus menjadi jumlah mingguan tertinggi dalam gelombang penularan semasa.
Menurut laporan Anadolu Ajansı (AA) yang memetik media tempatan serta pihak berkuasa kesihatan, Timbalan Pengarah Pusat Perisikan Epidemik Pusat Kawalan Penyakit Taiwan (CDC), Lee Chia-lin berkata, sejak Oktober tahun lalu, sebanyak 337 kes COVID-19 tempatan yang mengalami komplikasi teruk direkodkan, termasuk 42 kematian.
Beliau berkata, kunjungan pesakit berkaitan COVID-19 ke klinik pesakit luar dan jabatan kecemasan turut meningkat kepada 24,645 kes bagi tempoh 2 hingga 8 Ogos, iaitu peningkatan 27.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurutnya, CDC kini mengurangkan unjuran kemuncak kunjungan perubatan mingguan kepada 27,000 kes berbanding anggaran awal sebanyak 51,000 kes.
Katanya, gelombang penularan semasa dijangka mencapai kemuncak antara pertengahan hingga penghujung Ogos.
Golongan warga emas pula kekal paling terdedah kepada komplikasi serius apabila 73.9 peratus daripada kes teruk yang direkodkan sejak Oktober melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas.
Selain itu, sebanyak 84 peratus kes teruk mempunyai penyakit kronik, manakala hampir 90 peratus belum menerima vaksin COVID-19 bermusim terkini, menurut laporan AA.
Dalam pada itu, CDC memaklumkan kira-kira 140,000 dos vaksin masih berada dalam simpanan, dengan 37,000 dos dijangka tamat tempoh pada 9 September dan akan diagihkan kepada kerajaan tempatan.
Di peringkat global, kadar positif COVID-19 turut menunjukkan peningkatan di beberapa kawasan di Eropah dan Afrika, manakala peningkatan jangkitan dilaporkan di China, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan